
Setelah kembali dari menamatkan pengajian di Universitas Indonesia, aku meneruskan kerjaya sebagai pendidik. Memilih untuk menjadi pendidik memang merupakan satu pilihan yang pada awalnya bukan seperti yang aku impikan. Tapi akhirnya menjadi satu pilihan yang sangat membangggakan. Apa lagi sebelumnya, isteriku juga telah membuat pilihan yang sama setelah terlebih dahulu memilih untuk menjadi guru bahasa Inggeris dan meninggalkan kerjaya di bidang perbankan.
Guru, menurut kebanyakkan orang merupakan kerjaya yang tidak mempunyai banyak cabaran yang boleh dibanggakan. Itu antara tangapan awal yang terpaksa aku hadapi bila memilih menjadi guru sebagai pilihan. Apa lagi bagi orang seperti kami yang merupakan lulusan dari luar negara. Terutama bagi isteriku yang merupakan lulusan dari Universiti di United Kingdom, malah punya kepakaran dalam bidang pengajian computer yang memang saat itu sangat diperlukan. Dilihat dari peluang yang ada, memang mempunyai masa depan dalam kerjaya yang lebih boleh dibanggakan dan menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan.
Tetapi itu semua bukan satu hal yang patut kami sesalkan. Memilih menjadi guru sebenarnya merupakan satu pilihan yang sangat-sangat membanggakan. Memang dari awal-awal lagi kami telah melihat kerjaya ini sangat sesuai dengan jiwa dan keinginan kami. Apa lagi setelah kami ditempatkan mengajar di daerah luar bandar seperti di Baling dan Hulu Perak, yang sangat memerlukan tenaga muda seperti kami untuk mendidik generasi. Di sini jasa kami terasa sangat-sangat dihargai…., di sini kami tidak pernah rasa tidak diperduli….., di sini setiap ilmu yang kami taburkan sangat-sangat disanjung tinggi….., di sini kami bangga kerana dapat menyumbang bakti mendidik anak-anak desa yang kemudiannya dapat meneruskan cita-cita mengejar impian menjadi insan terpelajar.
Tetapi bukan kisah menjadi pendidik yang ingin aku jadikan sajian. Sebenarnya apa yang ingin aku sampaikan ialah, bagaimana dengan memilih menjadi pendidik sebenarnya telah memberi banyak kelebihan kepada kami untuk mencapai kejayaan. Kejayaan dalam melahirkan insan yang dapat mengharungi masa depan yang lebih membanggakan, apa lagi apabila anak-anak didik kami mencipta kejayaan dalam kerjaya dan pelajaran. Tapi satu yang lebih membanggakan kami lagi ialah, apabila anak-anak kami sendiri begitu cekal mengharungi cabaran. Anak-anak kami walaupun dibesarkan di kawasan pendesaan yang boleh dikatakan masih serba kekurangan, tapi masih mampu menyahut cabaran untuk mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

Alieff dan Arieff sebenarnya, tidak seperti anak-anak kecil yang lain ketika usia kanak-kanak mereka. Mungkin saja kerana ketika itu, kami tidak mempunyai kemampuan kewangan yang baik untuk dibelanjakan membeli alat-alat mainan untuk anak-anak. Apa lagi semasa tinggal di Pulau Pinang ketika itu, hanya isteriku sahaja yang bekerja tetap sebagai guru, sedangkan aku masih lagi meneruskan pengajian di peringkat Master di Universiti Sains Malaysia. Pada masa yang sama aku hanya menjawat jawatan sebagai Pembantu Siswazah (Tutor) dengan elaun RM 900.00 sebulan. Sedangkan bayaran sewa rumah pangsa kami saja ketika itu mencecah RM 450.00 sebulan. Kemampuan kewangan yang terbatas ketika itu menyebabkan setiap belanja yang kami lakukan sangat berhemat sekali, termasuk untuk membeli mainan anak-anak saja kami terpaksa berfikir panjang untuk dipenuhi. Tapi kami sangat beruntung, kerana Alieff dan Arieff seperti sangat mengerti dengan kepayahan kami saat itu. Mereka tidak pernah meminta untuk dibelikan sesuatu, dan sepertinya juga mereka tidak punya minat untuk bermain seperti anak-anak yang lain. Masa banyak dihabiskan dengan aktiviti di dalam rumah bersama kami, termasuklah membaca buku, yang sudah menjadi aktiviti masa lapang yang sangat disenangi. Apa lagi memang saat itu kami mempunyai koleksi buku-buku yang banyak sekali.
Mengenang kembali pengalaman dan kepayahan hidup yang kami tempuhi ketika berada Pulau Pinang sebelumnya, menyebabkan kami sangat bersyukur apabila ditawarkan peluang mengajar di Baling walaupun terletak jauh di desa pedalaman. Tapi paling tidak kami harapkan, apabila berhijrah ke Baling nanti, kami akan dapat memulakan hidup baru yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Memang tinggal di desa, kami akan berdepan dengan cabaran baru, tapi diharap kami dapat mengharunginya dengan hati yang cekal dan berani berdasarkan pengalaman kami sebelum ini. Apa sekalipun yang bakal terjadi, hidup harus diteruskan dengan pasti. Masa depan anak-anak harus kami utamakan, di samping itu tanggungjawab yang diamanahkan sebagai pendidik di daerah pedesaan harus kami tunaikan dengan penuh keikhlasan.
Memang pada awalnya apabila membuat keputusan untuk menetap di Baling ini, masa depan anak-anak yang terpaksa kami pertaruhkan. Apa lagi seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, sejak dari usia awal lagi Alieff dan Arieff sudah menunjukkan minat belajar yang tinggi. Di Baling tidak seperti di Pulau Pinang, kemudahan dan keistimewaan untuk anak-anak belajar dan mencari hiburan agak terbatas sekali. Cabaran pertama yang kami hadapi ialah menempatkan Alieff di sekolah rendah yang baik di daerah ini. Sebaik saja kami berpindah ke Baling, Alieff ketika itu layak untuk masuk ke tahun satu di sekolah rendah. Lalu kami mencari sekolah baru untuk mendaftar Alieff di sini. Kami dimaklumkan oleh teman-teman, sekolah rendah terbaik di Baling saat itu ialah Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, yang terletak tidak jauh dari pekan Baling. Tapi untuk mendapatkan tempat di sekolah ini bukan mudah, kerana bilangan pelajar yang diterima di sekolah ini terbatas dan harus melalui ujian saringan. Kebetulan kami terlewat membuat permohonan, kerana ujian saringan sudah dilangsungkan. Itu bermakna peluang Alieff untuk ditempatkan di sekolah ini memang kecil dan tipis sekali. Tapi kami tidak berputus asa, lalu menemui sendiri guru besar sekolah ketika itu yang bernama Puan Faridah. Lalu memohon jasa baik beliau untuk menerima Alieff untuk ditempatkan di sini. Nasib baik ada pelajar yang telah mendaftar terpaksa bertukar mengikut ayahnya yang berpindah, lalu tempat itu bolehlah diisi oleh Alieff. Itulah namanya rezeki, Alieff akhirnya diterima untuk ditempatkan di sekolah yang terbaik di daerah ini.

Masalah menepatkan Alieff di sekolah pilihan dapat kami selesaikan. Tapi timbul pula masalah di mana Arieff nak kami tempatkan. Ketika itu kelas tadika sangat terbatas dan dilihat tidak ada yang sesuai untuk Arieff, apalagi sebenarnya keupayaan belajar Arieff telah melewati usia sebenarnya. Walaupun usia Arieff baru 5 tahun ketika itu, tapi dia sudah dapat mengira, menulis, membaca malah mengusai bahasa Inggeris, Arab dan sedikit bahasa Cina dengan baik. Ini kesan dari pendidikan awal yang diperolehi oleh Arieff di Pulau Pinang sebelumnya. Ketika berusia 3 tahun lagi, Arieff sudah berkenalan dengan dunia pendidikan, malah dia sudah dapat menguasai pelajaran yang diajarkan dengan baik. Memang ini sebenarnya cabaran yang sangat menyulitkan kami ketika itu. Kalau dibiarkan Arieff belajar di Baling, takut nanti dia akan merasa bosan kerana terpaksa mengulang dan mungkin saja ilmu yang akan diperolehi sudah dia dapatkan sebelumnya. Memang betul kata keluarga dan teman-teman kami sebelumnya, masalah menempatkan anak-anak yang merupakan cabaran utama yang bakal kami hadapi apabila berhijrah ke daerah ini.

Akhirnya kami mengambil kata sepakat, biar Alieff bersekolah di Baling dan Arieff akan mengikut aku mencari tempat belajar di Sungai Petani. Saat itu aku setiap hari harus berulang-alik ke Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah. Kebetulan pula, di Maktab Perguruan tempat aku belajar, ada tadika khas bagi pelajar-pelajar pintar. Tapi Arieff harus diuji dulu kecekapan belajarnya sebelum diterima masuk di tadika tersebut. Kami bersyukur akhirnya Arieff diterima untuk belajar di tadika tersebut setelah lulus ujian saringan yang diadakan. Malah Arieff telah mencatatkan nilai yang sangat membanggakan dengan mencapai keputusan yang cemerlang. Bakat belajar yang Arieff tunjukkan ketika itu memberikan satu harapan kepada kami, bahawa suatu hari nanti jika dibimbing dengan baik, tidak mustahil Arieff akan menjadi anak yang dapat membanggakan kami dan berupaya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Arieff meraih kejayaan di Tadika
Sesuatu yang menarik dan tidak dapat aku lupakan sepanjang aku menyambung pengajian di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim ialah ketika setiap pagi kami berbaris dan berkumpul sebelum memulakan kelas. Biasanya setiap pagi semua guru-guru pelatih akan berkumpul dan menyanyikan lagu patriotik dan lagu maktab. Arieff setiap pagi akan mengikut aku berkumpul dalam barisan guru-guru pelatih dan akan menyanyi bersama-sama kami. Arieff akan penuh bersemangat terutama ketika menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’ yang menjadi lagu wajib untuk kami nyanyikan setiap pagi. Malah ketika itu suara Arieff antara yang paling jelas kedengaran sehingga sering mendapat pujian dari pensyarah-pensyarah maktab yang turut sama dalam perhimpunan. Selama setahun melalui pengalaman sedemikian, memang dapat benar-benar mematangkan Arieff, malah dia menjadi sangat aktif, berani dan cepat beradaptasi dalam apa situasi sekalipun. Tidak mustahil selepas itu, ketika berada di sekolah rendah, Arieff mempunyai daya kreativiti yang baik dalam menguasai pelajaran dan juga turut mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.
Alieff pula lain kisahnya, ternyata bukan mudah baginya untuk beradaptasi dengan persekitaran baru di Baling. Apa lagi di sekolah, Alieff mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Pada peringkat awal, terlihat Alieff melalui saat-saat sukar untuk mendapatkan teman belajar. Anak-anak kami ada masalah untuk berkomunikasi dengan kawan-kawan, apa lagi rata-rata anak-anak di sini menggunakan dialek Baling yang sememangnya agak mengambil masa untuk dikuasai. Alieff menjadi sangat pendiam di sekolah, tidak seperti Arieff yang sangat ramah dan punya ramai teman di tadika. Pada peringkat awal, Alieff agak perlahan menguasai pelajaran dan keputusan peperiksaannya juga hanya ditahap sederhana. Tapi aku tetap tidak berputus asa, Alieff juga sebenarnya anak yang rajin berusaha, cuma saja dia memerlukanya banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru dan mendapatkan teman belajar yang dapat membantu.

Alieff & Arieff ketika berkunjung pertama kali ke Thailand
Tapi apa yang paling membanggakan kami saat itu ialah, di akhir tahun seperti Arieff, Alieff juga telah menjaya mencatatkan kejayaan yang membangggakan. Dalam peperiksaan akhir tahun Alieff telah membuktikan bahawa kejayaan bukan mustahil untuk diraih jika kuat belajar dan berusaha. Alieff yang dalam peperiksaan pertengahan tahun menduduki tempat ke-13, telah berjaya mendapat kedudukan tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun. Satu kejayaan yang sangat membanggakan kami sekeluarga. Apa lagi saat itu juga Arieff telah terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan Tadika Pintar, Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim. Tambah manis lagi apabila aku juga telah memperolehi kelulusan cemerlang dalam pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazahku di Maktab Perguruan.
Kejayaan yang diperoleh ketika itu menjadi titik tolak kepada kami sekeluarga untuk terus berusaha membina masa depan yang lebih baik dan sempurna dari sebelumnya. Aku juga berikrar akan memberi pendididikan yang sebaik-baiknya kepada anak-anak, di samping itu juga akan menabur bakti menjadi guru yang dapat melahirkan insan yang berguna di masa hadapan. Bermula dari tekad untuk mengubah masa depan keluarga, kami mengorak langkah melalui hari-hari yang mendatang dengan penuh pasti dan keyakinan yang tinggi. Masa depan anak-anak menjadi keutamaan, mendidik anak bangsa menjadi tumpuan, melahirkan insan berilmu akan kami laksanakan.
Kami bersyukur dengan segala yang telah Allah kurniakan. Anak-anak adalah anugerah yang sangat bernilai yang dititip menjadi pelengkap kehidupan. Mendidik dan menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab dan amanah yang harus ditunai dan dilaksanakan. Semoga setiap apa yang ditunaikan akan mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah s.w.t. sebagai ibadah yang akan menjadi bekalan di masa depan. Dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebenarnya akan ada pelbagai cabaran yang akan datang dan pergi sebagai dugaan. Walau apa sekalipun hidup mesti diteruskan, setiap dugaan dan cabaran akan lebih mematangkan diri dan mengajar kita akan erti sebuah kehidupan yang sebenarnya di dunia ini. Apa yang penting, hidup yang kita lalui ini adalah persinggahan sementara, sebelum kita kembali kepada-Nya dan kekal di alam yang abdi selama-lamanya.
“Tennis runs in our blood”
Samsul Kamil Osman,
Teratak Shamida, 20 September 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan