
Makluman yang dibuat oleh pengetua itu sebenarnya memberi beberapa khabar gembira kepada pasukan yang kami latih ketika itu. Pengetua memaklumkan bahawa PPD akan membekalkan net baru untuk mengantikan ‘net canggih’ yang kami gunakan sebelumnya. Berita gembira selanjutnya ialah, disebabkan sekolah Model Khas akan menjadi sekolah pengelola pertandingan itu nanti, maka pemain-pemain dari sekolah ini secara automatik layak untuk bertanding dalam kejohanan itu nanti. Kemudian berita seterusnya yang sangat memeranjatkan isteriku ketika itu, apabila pengetua memaklumkan sekolah akan memberi peruntukan untuk kami membeli raket baru bagi menggantikan raket ‘antik’ yang kami gunakan dalam latihan-latihan sebelum ini. Tapi sebagai langkah awal, kerana pertandingan akan berlangsung dalam masa yang sangat dekat, isteriku diminta oleh pengetua mendahulukan duit kami untuk membeli raket tersebut. Selepas itu nanti, sekolah akan membayar kembali segala perbelanjaan yang telah kami keluarkan.
Berita ini benar-benar mengembirakan aku dan anak-anak didik kami. Terasa segala usaha dan titik peluh untuk menghidupkan sukan tenis di sekolah ini telah menampakkan hasilnya. Apa yang paling membanggakan aku, kami dapat buktikan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang selama ini mentertawakan kegiatan kami, bahawa apa yang kami lakukan selama ini bukan kerja yang sia-sia. Paling tidak dalam masa yang singkat saja, pihak sekolah telah memberi sokongan di atas segala hasil kerja dan usaha kami selama ini. Kami tak perlu lagi bersusah payah memikirkan soal mencari biaya untuk membeli net dan raket selepas ini. Tidak ada lagi yang bakal mentertawakan kami selepas ini kerana bermain menggunakan net canggih ciptaan sendiri. Tidak ada juga yang bakal ketawa kerana kami tidak lagi akan menggunakan raket antik, semua itu hanya akan tinggal sebagai kenangan sahaja selepas ini.
Keesokan hari selepas sekolah aku dan isteri bergegas ke Padang Besar, Perlis untuk mencari raket yang lebih sesuai untuk digunakan oleh anak-anak didik kami dalam pertandingan itu nanti. Padang Besar, Perlis sebenarnya bukan sahaja terkenal sebagai tempat untuk mendapatkan pakaian dan makanan dari Thailand yang berharga murah. Tapi di sana juga terdapat sebuah kedai alat-alat sukan terpakai yang berkualiti baik, tapi harganya sangat berpatutan. Kebetulan aku juga sempat diperkenalkan oleh teman-temanku di Perlis kepada tuan punya kedai tersebut. Jadi bolehlah aku membeli raket-raket yang berjenama tapi dengan harga yang rendah, ada kalanya memang tak masuk akal, kerana tawaran harganya memang sangat-sangat rendah. Bila aku maklumkan kepada tuan punya kedai bahawa raket itu untuk kegunaan pelajar sekolah yang rata-ratanya dari kalangan anak-anak kampong yang miskin, maka dia suruh aku memilih sahaja mana yang berkenan. Semua raket itu akan dijual dengan harga pukal.
Aku maklumkan bahawa kami cuma mahukan 4 batang raket saja. Aku cuma mampu menyediakan perbelanjaan sebanyak RM200.00 sahaja, apa lagi saat itu kami harus mendahulukan duit kami sendiri. Fikirku cukuplah raket yang biasa saja walaupun tidak berjenama, tapi lebih baik dari raket antik yang kami pakai sebelumnya. Tapi sebenarnya rezeki yang datang tak sesiapa yang akan menduga. Sebelumnya aku kira raket yang dilonggok dalam kotak yang akan ditawarkan, sebalikya raket berjenama Wilson dan Prince yang popular yang diletakkan di dalam almari kemudiannya dihulurkan oleh tuan kedai yang baik hati. Aku lihat harga satu-satunya mencatatkan angka RM350.00. Aku menjadi keliru, apakah sebenarnya tauke kedai itu tak faham apa yang aku katakan sebelumnya.
“Tauke, saya mau raket yang murah-murah saja, untuk beginners, anak-anak sekolah saja. Mahal saya tak mampu bayar maa,” sekali aku mengingatkan tauke kedai tersebut.
“Cikgu, saya tau lu baik hati punya orang, jauh-jauh datang mau tolong budak-budak miskin. Saya tau, Mr Cheng lu punya kawan ada bilang maa, kalau cikgu punya hal kasi borong saja. Cikgu jangan susah hati punya…., angkat ini 4 raket, kira cincai cikgu bayar saya RM 200.00. Apa macam, cikgu setuju?” Penjelasan dan sikap baik hati tauke kedai itu benar-benar mengejutkan aku.
Tidak pernah aku duga, di dunia seperti sekarang ini masih ada saja orang-orang yang berhati mulia seperti ini. Apapun aku sangat-sangat bersyukur, kerana paling tidak telah membuktikan bahawa setiap sesuatu yang kita lakukan dengan ikhlas dan baik, pasti ada saja hikmah yang akan kita peroleh. Buktinya hari ini aku telah mendapat hikmah yang tidak terduga, dengan hanya mengeluarkan wang saku RM 200.00 sahaja, kami berjaya mendapat 4 raket berjenama yang harga sebenar mencecah hampir RM 1000.00 kesemuanya. Paling membuatkan hati aku dan isteri merasa terharu, sikap baik hati dan tak berlebihan jika aku katakan bersifat dermawan itu datangnya dari tauke yang berbangsa Cina, yang pada perkiraanku sebelumnya sangat-sangat mementingkan keuntungan dalam berniaga.
“Tauke, terima kasih banyak-banyak….saya tak tau mau cakap apa lagi, tauke memang sangat baik hati. Tapi nanti kalau saya ada mau beli apa-apa alat-alat sukan, saya akan datang sama tauke lagi,” aku mengucapkan terima kasih dan rasa terharu kami kepada tauke kedai atas bantuan yang diberi.
“Cikgu, jangan terima kasih itu macam….saya tau cikgu orang baik-baik….mau tolong orang kasi jadi hebat…., kita mesti tolong. Orang Cina kata ada ong punya….Cikgu saya mau kasi tau sama lu, anak-anak lu itu juga ada ong….dia punya muka ada senyum banyak, anak cikgu yang kecil (Arieff Shamida) cikgu jaga baik-baik….dia juga ada ong punya,” kata-kata dari tauke kedai itu yang benar-benar membuatkan aku terkejut. Apa lagi dia dapat membuat tafsiran terhadap anak-anak kami apabila melihat raut wajah anak-anak kami yang masih kecil ketika itu.
Aksi Alieff & Arieff selepas latihan di gelanggang Sekolah Model Khas Baling
Setelah membuat pembayaran dan memohon diri untuk balik, sekali lagi aku mengucapkan terima kasih kepada tauke kedai alatan sukan tersebut. Satu pengajaran yang aku dapat hari itu ialah, masih banyak sebenarnya orang-orang yang berhati mulia dan sanggup melakukan apa saja untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Sebenarnya juga dalam menghulurkan bantuan dan pertolongan kita tidak harus membataskannya hanya kepada orang-orang yang mempunyai persamaan budaya, bangsa dan agama dengan kita saja. Tapi sebenarnya kita harus berfikiran lebih terbuka, menolong sesiapa sahaja, tanpa memikirkan keuntungan dan imbalan yang akan kita terima nantinya.

Antara pelajar perempuan yang pernah mengharumkan nama pasukan tenis Sekolah Model Khas Baling
Dalam perjalanan balik ke Baling, kami sekeluarga tidak habis-habis bercerita, menyusun strategi dan rencana untuk melatih pelajar-pelajar kami supaya berjaya dalam pertandingan yang akan diadakan nanti. Apa lagi sekarang kami dah dapatkan peralatan terbaik dan tentukan sekali akan dapat membakar semangat anak-anak itu untuk menunjukkan keupayaan diri. Mereka tentu bersemangat sekali untuk berlatih, apa lagi bila mendapat raket berjenama dan tak kurang hebatnya dengan pemain-pemain dari sekolah yang lain.
Tentu juga selepas ini tak akan ada lagi yang akan mempersendakan kami, terutama di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah sendiri. Kami akan membuktikan, usaha selama ini bukan sia-sia dan hanya membuang masa, tapi akan ada pulangan yang dapat menjadi kebanggan, terutama untuk menaikkan nama sekolah. Memang menjadi impian aku dan pelatih-pelatihku, paling tidak dalam pertandingan peringkat daerah nanti ada di kalangan mereka yang akan layak mewakili daerah ke peringkat negeri. Walaupun sebenarnya target itu terlalu tinggi, apa lagi anak-anak itu baru pertama kali menyertai pertandingan seperti ini. Tapi paling tidak mereka sudah punya semangat berani, semangat yang tinggi untuk menampilkan bakat yang tersembunyi…., bakat yang sebelumnya tak pernah mereka impikan terjadi….., tapi kini sepertinya sudah sebati…..tenis bukan lagi menjadi perkara asing dalam diri….tenis sudah menjadi aktiviti pengisi masa lapang setiap hari…, tenis menjadi sukan yang mengajar membentuk jati diri…., tenis membentuk jiwa pemimpin dan menjadi pelajar yang bertanggung jawab dan bijak mengenal masa depan.

Antara pelajar yang pernah meraih kejayan menaikkan nama Sekolah Model Khas Baling
Azhar, Asrul, Shamimi, Khairul Azhar, Faizal, Faizul, Amir Fikri, Haizan, Naim, Razif, Anis, Muna, Nur Ain, dan Hazwanie…., antara nama-nama yang aku masih ingat menjadi pelopor pasukan tenis Sekolah Model Khas Baling. Nama-nama ini menjadi inspirasi yang sangat besar kepada kejayaan anak-anak Shamida suatu hari kemudiannya. Nama-nama ini juga menjadi pelopor yang satu ketika menjulang nama daerah Baling di kejohanan tenis peringkat negeri Kedah. Walaupun nama-nama ini tidak pernah gah sampai ke peringkat kebangsaan, tapi paling tidak mereka menjadi pencetus kejayaan anak-anak Shamida untuk muncul sebagai wira negeri Kedah yang menjulang kejayaan di kejohanan-kejohanan di peringkat kebangsaan kemudian hari kelak. Paling tidak, nama-nama ini pernah membuktikan, anak kampong juga boleh berjaya menguasai pemainan tenis yang dahulunya hanya untuk orang-orang bandar sahaja. Nama-nama ini telah menutup mulut dan menghentikan ketawa guru-guru dan rakan-rakan yang memperkecilkan keupayaan mereka ketika pertama kali tampil untuk menjulang nama sekolah supaya tidak dipandang rendah kerana mereka datangnya dari anak-anak desa yang tak punya apa-apa.
Terima kasih anak-anak didik kebangaanku…..kalian sangat bermakna kerana menjadi pencetus semangat untuk kami menjulang nama “Shamida Tennis Family” sehingga ke hari ini.
“Tennis runs in our blood”
Samsul Kamil Osman,
Teratak Shamida, 11 September 2011.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan