Mutiara Kata

Dalam kehidupan ada cabaran, dalam kehidupan ada kemahuan dan keinginan, dalam kehidupan ada keupayaan, dalam kehidupan ada kehebatan dan dalam kehidupan ada kesungguhan......kejarlah....carilah....capailah....apa saja yang kita inginkan...lakukan dengan penuh keyakinan, lakukan dengan penuh keberanian....lakukan demi mencapai satu kebahagiaan....kebahagiaan yang memenuhi segala impian....

Isnin, 12 September 2011

Tennis Runs in Our Blood

Shamida Tennis Family – Part 2

“Langkah Baru Bermula”


Pagi tadi satu kejutan telah terjadi dalam final kategori wanita Kejohanan US Open 2011. Serena Williams telah menerima kejutan apabila gagal mempertahan kejuaraan yang pernah disandangnya setelah terpaksa tunduk kepada kehebatan Samantha Stosur dari Australia. Kalau diimbas kembali pertarungan di semi final semalam, ketika Serena Williams menumbangkan pemain no.1 dunia, Caroline Wozniacki yang juga terkenal kerana kejelitaannya, mungkin saja kita akan mengira tidak ada masalah untuk Serena tampil sebagai juara hari ini. Apa lagi, hari ini bukan penampilan pertama Serena di pentas final, di US Open saja Serena Williams sudah mencecah angka hampir 6 kali tampil merangkul mahkota juara. Tapi itulah tenis, sesiapa saja mampu untuk dimahkotakan sebagai juara, tiada seorangpun pemain walau sehebat mana sekalipun yang mampu terus kekal menjadi juara untuk selama-lamanya. Tapi bukan pula bermakna, setelah merangkul gelaran juara kita harus merasa puas dengan gelaran yang ada. Tapi kita harus terus bekerja keras, melipatgandakan usaha dan tingkatkan latihan. Berjaya atau tidaknya nanti, itu bukan persoalan utama, tapi sebagai seorang pemain yang berdisiplin kita harus berusaha dan terus berusaha. Kita harus yakin, kejayaan tidak akan datang dengan sendirinya, tapi kejayaan harus dijejaki dengan keazaman yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk mengharungi segala cabaran dan dugaan.

Bercerita tentang perlawanan dalam tenis memang banyak yang boleh kita jadikan topik bicara. Tapi bukan itu yang ingin aku ulaskan di sini. Bukan juga pertembungan sengit Rafael Nadal dan Novak Djokovic di final US Open 2011 kategori lelaki yang akan berlangsung pagi nanti menjadi topik pilihan. Tapi hari ini aku ingin mengimbas kembali kenangan persediaan pertama kali menghantar anak-anak didikku menyertai pertandingan sebagai pendedahan awal setelah melalui siri latihan yang aku sendiri tak pasti apakah itu sebenarnya kaedah yang tepat dan berkualiti.

Kisah ini bermula beberapa hari sebelum Pertandingan Tenis Sekolah-Sekolah Daerah Baling/Sik tahun 2001 berlangsung. Cikgu Zulkefli, pengetua Sekolah Model Khas Baling ketika itu memaklumkan kepada isteriku sebagai guru penasihat permainan tenis sekolah bahawa sekolah mereka dipilih oleh PPD Baling/Sik untuk menjadi tuan rumah mengelola pertandingan.

Makluman yang dibuat oleh pengetua itu sebenarnya memberi beberapa khabar gembira kepada pasukan yang kami latih ketika itu. Pengetua memaklumkan bahawa PPD akan membekalkan net baru untuk mengantikan ‘net canggih’ yang kami gunakan sebelumnya. Berita gembira selanjutnya ialah, disebabkan sekolah Model Khas akan menjadi sekolah pengelola pertandingan itu nanti, maka pemain-pemain dari sekolah ini secara automatik layak untuk bertanding dalam kejohanan itu nanti. Kemudian berita seterusnya yang sangat memeranjatkan isteriku ketika itu, apabila pengetua memaklumkan sekolah akan memberi peruntukan untuk kami membeli raket baru bagi menggantikan raket ‘antik’ yang kami gunakan dalam latihan-latihan sebelum ini. Tapi sebagai langkah awal, kerana pertandingan akan berlangsung dalam masa yang sangat dekat, isteriku diminta oleh pengetua mendahulukan duit kami untuk membeli raket tersebut. Selepas itu nanti, sekolah akan membayar kembali segala perbelanjaan yang telah kami keluarkan.

Berita ini benar-benar mengembirakan aku dan anak-anak didik kami. Terasa segala usaha dan titik peluh untuk menghidupkan sukan tenis di sekolah ini telah menampakkan hasilnya. Apa yang paling membanggakan aku, kami dapat buktikan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang selama ini mentertawakan kegiatan kami, bahawa apa yang kami lakukan selama ini bukan kerja yang sia-sia. Paling tidak dalam masa yang singkat saja, pihak sekolah telah memberi sokongan di atas segala hasil kerja dan usaha kami selama ini. Kami tak perlu lagi bersusah payah memikirkan soal mencari biaya untuk membeli net dan raket selepas ini. Tidak ada lagi yang bakal mentertawakan kami selepas ini kerana bermain menggunakan net canggih ciptaan sendiri. Tidak ada juga yang bakal ketawa kerana kami tidak lagi akan menggunakan raket antik, semua itu hanya akan tinggal sebagai kenangan sahaja selepas ini.

Keesokan hari selepas sekolah aku dan isteri bergegas ke Padang Besar, Perlis untuk mencari raket yang lebih sesuai untuk digunakan oleh anak-anak didik kami dalam pertandingan itu nanti. Padang Besar, Perlis sebenarnya bukan sahaja terkenal sebagai tempat untuk mendapatkan pakaian dan makanan dari Thailand yang berharga murah. Tapi di sana juga terdapat sebuah kedai alat-alat sukan terpakai yang berkualiti baik, tapi harganya sangat berpatutan. Kebetulan aku juga sempat diperkenalkan oleh teman-temanku di Perlis kepada tuan punya kedai tersebut. Jadi bolehlah aku membeli raket-raket yang berjenama tapi dengan harga yang rendah, ada kalanya memang tak masuk akal, kerana tawaran harganya memang sangat-sangat rendah. Bila aku maklumkan kepada tuan punya kedai bahawa raket itu untuk kegunaan pelajar sekolah yang rata-ratanya dari kalangan anak-anak kampong yang miskin, maka dia suruh aku memilih sahaja mana yang berkenan. Semua raket itu akan dijual dengan harga pukal.

Aku maklumkan bahawa kami cuma mahukan 4 batang raket saja. Aku cuma mampu menyediakan perbelanjaan sebanyak RM200.00 sahaja, apa lagi saat itu kami harus mendahulukan duit kami sendiri. Fikirku cukuplah raket yang biasa saja walaupun tidak berjenama, tapi lebih baik dari raket antik yang kami pakai sebelumnya. Tapi sebenarnya rezeki yang datang tak sesiapa yang akan menduga. Sebelumnya aku kira raket yang dilonggok dalam kotak yang akan ditawarkan, sebalikya raket berjenama Wilson dan Prince yang popular yang diletakkan di dalam almari kemudiannya dihulurkan oleh tuan kedai yang baik hati. Aku lihat harga satu-satunya mencatatkan angka RM350.00. Aku menjadi keliru, apakah sebenarnya tauke kedai itu tak faham apa yang aku katakan sebelumnya.

“Tauke, saya mau raket yang murah-murah saja, untuk beginners, anak-anak sekolah saja. Mahal saya tak mampu bayar maa,” sekali aku mengingatkan tauke kedai tersebut.

“Cikgu, saya tau lu baik hati punya orang, jauh-jauh datang mau tolong budak-budak miskin. Saya tau, Mr Cheng lu punya kawan ada bilang maa, kalau cikgu punya hal kasi borong saja. Cikgu jangan susah hati punya…., angkat ini 4 raket, kira cincai cikgu bayar saya RM 200.00. Apa macam, cikgu setuju?” Penjelasan dan sikap baik hati tauke kedai itu benar-benar mengejutkan aku.

Tidak pernah aku duga, di dunia seperti sekarang ini masih ada saja orang-orang yang berhati mulia seperti ini. Apapun aku sangat-sangat bersyukur, kerana paling tidak telah membuktikan bahawa setiap sesuatu yang kita lakukan dengan ikhlas dan baik, pasti ada saja hikmah yang akan kita peroleh. Buktinya hari ini aku telah mendapat hikmah yang tidak terduga, dengan hanya mengeluarkan wang saku RM 200.00 sahaja, kami berjaya mendapat 4 raket berjenama yang harga sebenar mencecah hampir RM 1000.00 kesemuanya. Paling membuatkan hati aku dan isteri merasa terharu, sikap baik hati dan tak berlebihan jika aku katakan bersifat dermawan itu datangnya dari tauke yang berbangsa Cina, yang pada perkiraanku sebelumnya sangat-sangat mementingkan keuntungan dalam berniaga.

“Tauke, terima kasih banyak-banyak….saya tak tau mau cakap apa lagi, tauke memang sangat baik hati. Tapi nanti kalau saya ada mau beli apa-apa alat-alat sukan, saya akan datang sama tauke lagi,” aku mengucapkan terima kasih dan rasa terharu kami kepada tauke kedai atas bantuan yang diberi.

“Cikgu, jangan terima kasih itu macam….saya tau cikgu orang baik-baik….mau tolong orang kasi jadi hebat…., kita mesti tolong. Orang Cina kata ada ong punya….Cikgu saya mau kasi tau sama lu, anak-anak lu itu juga ada ong….dia punya muka ada senyum banyak, anak cikgu yang kecil (Arieff Shamida) cikgu jaga baik-baik….dia juga ada ong punya,” kata-kata dari tauke kedai itu yang benar-benar membuatkan aku terkejut. Apa lagi dia dapat membuat tafsiran terhadap anak-anak kami apabila melihat raut wajah anak-anak kami yang masih kecil ketika itu.

Aksi Alieff & Arieff selepas latihan di gelanggang Sekolah Model Khas Baling

Setelah membuat pembayaran dan memohon diri untuk balik, sekali lagi aku mengucapkan terima kasih kepada tauke kedai alatan sukan tersebut. Satu pengajaran yang aku dapat hari itu ialah, masih banyak sebenarnya orang-orang yang berhati mulia dan sanggup melakukan apa saja untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Sebenarnya juga dalam menghulurkan bantuan dan pertolongan kita tidak harus membataskannya hanya kepada orang-orang yang mempunyai persamaan budaya, bangsa dan agama dengan kita saja. Tapi sebenarnya kita harus berfikiran lebih terbuka, menolong sesiapa sahaja, tanpa memikirkan keuntungan dan imbalan yang akan kita terima nantinya.

Antara pelajar perempuan yang pernah mengharumkan nama pasukan tenis Sekolah Model Khas Baling

Dalam perjalanan balik ke Baling, kami sekeluarga tidak habis-habis bercerita, menyusun strategi dan rencana untuk melatih pelajar-pelajar kami supaya berjaya dalam pertandingan yang akan diadakan nanti. Apa lagi sekarang kami dah dapatkan peralatan terbaik dan tentukan sekali akan dapat membakar semangat anak-anak itu untuk menunjukkan keupayaan diri. Mereka tentu bersemangat sekali untuk berlatih, apa lagi bila mendapat raket berjenama dan tak kurang hebatnya dengan pemain-pemain dari sekolah yang lain.

Tentu juga selepas ini tak akan ada lagi yang akan mempersendakan kami, terutama di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah sendiri. Kami akan membuktikan, usaha selama ini bukan sia-sia dan hanya membuang masa, tapi akan ada pulangan yang dapat menjadi kebanggan, terutama untuk menaikkan nama sekolah. Memang menjadi impian aku dan pelatih-pelatihku, paling tidak dalam pertandingan peringkat daerah nanti ada di kalangan mereka yang akan layak mewakili daerah ke peringkat negeri. Walaupun sebenarnya target itu terlalu tinggi, apa lagi anak-anak itu baru pertama kali menyertai pertandingan seperti ini. Tapi paling tidak mereka sudah punya semangat berani, semangat yang tinggi untuk menampilkan bakat yang tersembunyi…., bakat yang sebelumnya tak pernah mereka impikan terjadi….., tapi kini sepertinya sudah sebati…..tenis bukan lagi menjadi perkara asing dalam diri….tenis sudah menjadi aktiviti pengisi masa lapang setiap hari…, tenis menjadi sukan yang mengajar membentuk jati diri…., tenis membentuk jiwa pemimpin dan menjadi pelajar yang bertanggung jawab dan bijak mengenal masa depan.

Antara pelajar yang pernah meraih kejayan menaikkan nama Sekolah Model Khas Baling

Azhar, Asrul, Shamimi, Khairul Azhar, Faizal, Faizul, Amir Fikri, Haizan, Naim, Razif, Anis, Muna, Nur Ain, dan Hazwanie…., antara nama-nama yang aku masih ingat menjadi pelopor pasukan tenis Sekolah Model Khas Baling. Nama-nama ini menjadi inspirasi yang sangat besar kepada kejayaan anak-anak Shamida suatu hari kemudiannya. Nama-nama ini juga menjadi pelopor yang satu ketika menjulang nama daerah Baling di kejohanan tenis peringkat negeri Kedah. Walaupun nama-nama ini tidak pernah gah sampai ke peringkat kebangsaan, tapi paling tidak mereka menjadi pencetus kejayaan anak-anak Shamida untuk muncul sebagai wira negeri Kedah yang menjulang kejayaan di kejohanan-kejohanan di peringkat kebangsaan kemudian hari kelak. Paling tidak, nama-nama ini pernah membuktikan, anak kampong juga boleh berjaya menguasai pemainan tenis yang dahulunya hanya untuk orang-orang bandar sahaja. Nama-nama ini telah menutup mulut dan menghentikan ketawa guru-guru dan rakan-rakan yang memperkecilkan keupayaan mereka ketika pertama kali tampil untuk menjulang nama sekolah supaya tidak dipandang rendah kerana mereka datangnya dari anak-anak desa yang tak punya apa-apa.

Terima kasih anak-anak didik kebangaanku…..kalian sangat bermakna kerana menjadi pencetus semangat untuk kami menjulang nama “Shamida Tennis Family” sehingga ke hari ini.

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman,

Teratak Shamida, 11 September 2011.

Ahad, 11 September 2011

Tennis Runs in Our Blood

Shamida Tennis Family - Part 1

“Dunia Baru”

Kerancakkan kejohanan tenis US Open 2011 telah menuju kemuncaknya. Rafael Nadal dengan gaya permainan luar biasanya telah menafikan kemaraan Andy Murray untuk mara ke final. Novak Djokovic dengan pertarungan yang penuh debaran telah berhasil mengenepikan kebangkitan kembali Roger Federer, bintang lagenda tenis yang masih menampilkan kehebatannya sehingga ke hari ini. Sedang aku menulis coretan ini, pertarungan dua bintang tenis wanita Serena Williams dan Caroline Wozniacki sedang berlangsung untuk mencari satu lagi slot di final wanita, bakal berdepan dengan Samantha Stosur yang telah menafikan kebangkitan Angelique Kerber di semi final sebelumnya.

“Tennis”…, sukan yang memberi banyak kenangan manis dan terindah dalam keluarga Shamida. Tidak berlebihan jika aku katakan di sini, “Tenis dan Shamida” itu adalah dua perkataan yang tidak dapat dipisahkan. “Shamida itu tenis dan tenis itu adalah Shamida”. Memang kedengarannya seperti satu ungkapan yang tidak masuk akal dan melucukan, tapi itulah hakikatnya. Tenis telah membawa banyak perubahan dalam keluarga Shamida. Tenis telah banyak memberi pengajaran dan tidak kurang juga pelbagai pengalaman yang sangat bermakna mematangkan anak-anak Shamida dari seawal usia kecil mereka sehinggalah sekarang, setelah mereka mencecah usia remaja dan semakin hampir menuju dewasa.

Shamida Siblings

Walaupun anak-anak Shamida tidak sehebat Sarena Williams atau juga kakaknya Venus Willams dari “Williams Family’…., tidak juga sehebat Roger Federer apa lagi jauh sekali dibandingkan dengan Rafeal Nadal atau saja Novak Djokovic. Tapi paling tidak Mohd Alieff Shamida, Mohamad Arieff Shamida dan Nur Aniess Shamida pernah mewarnai kejohanan-kejohanan tenis peringkat junior yang pernah diadakan di tanah air kita bermula dari tahun 2002 sehinggalah ke hari ini. Bermula dari anak kampong, yang datangnya dari daerah di Hulu Baling. Kemudian mencuba nasib ingin belajar bermain di bandar-bandar seperti di Alor Setar dan Sungai Petani…. Akhir berjaya juga menjelajah sehingga ke seluruh pelusuk tanah air, bermula dari Kangar, Perlis sampailah ke Kuching, Sarawak. Pada awal penglibatan hanya menjadi anak-anak belasahan, tapi akhir dapat juga muncul antara pemain yang sering digeruni oleh lawan apabila turun ke gelanggang bermain.

Sejarah bermulanya mengenal permainan tenis bagi keluarga Shamida terjadi apabila aku sebagai ayah mereka berjinak untuk belajar bermain pada tahun 2000. Berlaku secara kebetulan apabila aku memilih untuk ikut teman-teman mengambil kursus pilihan permainan tenis sebagai pelengkap mata kuliah gerak kerja ko-kurikulum di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (MPSAH). Aku ketika itu sedang mengikuti pengajian Kursus Diploma Lepasan Ijazah untuk layakkan aku menjadi seorang guru kemudian kelak. Tenis aku pilih kerana tidak punya pilihan, teman-temanku semuanya sudah lama berjinak dengan sukan ini dan menurut mereka tenis sukan yang elit. Aku turut saja walaupun ketika itu jangankan bermain, raket tenis pun aku tak punya sama sekali.

Mohd Alieff Shamida

Setiap petang, bila tiba waktu aktiviti ko-kurikulum, kami diwajib turun ke gelanggang. Aku mula berjinak turun ke court, apa lagi setelah dihadiahkan oleh isteri tercinta raket tenis yang terlihat antik. Raket hadiah dari isteriku itu memang benar-benar antik, dipilih dalam kotak lelongan di kedai sukan kerana ketika itu harganya murah. Menurut tuan kedai, raket itu keluaran tahun tahun awal 70-an, mungkin sezaman dengan lagenda tenis John McEnroe. Raket itu masih aku simpan sebagai kenangan. Kali pertama turun bermain, layakku bukan memukul bola tapi lebih kepada pengutip bola di gelanggang. Tidak ada teman-teman yang ingin menjadikan aku sparing partner kerana memang aku tak bisa sama sekali memukul bola lagi. Jika boleh sekalipun, bola tenis yang aku pukul melepasi pagar gelanggang saja nanti.

Mohamad Arieff Shamida

Tapi aku tidak pernah berputus asa, dari hari ke hari aku mencuba dan terus mencuba. Sehinggalah akhirnya aku dapat mempelajari cara bermain dan mampu untuk membuat hantaran bola dengan baik sekali. Tiada lagi bola tenis yang aku pukul melepasi pagar gelanggang kini, aku sudah mula mendapat pujian rakan dan teman bermain. Memang betul kata pepatah Melayu, “ jika ada kemahuan, di situ pasti ada jalan,”. Sejak itu aku mula tertarik dengan sukan ini dan menanam ikhtizam, permainan ini akan aku turunkan kepada anak-anakku suatu hari nanti. Tidak mustahil anak-anakku akan berjaya nanti, apalagi mereka masih muda dan tentu saja cepat mempelajari setiap apa yang diajarkan nanti. Seperti juga pepatah Melayu yang satu ini, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Aku yang sudah berumur saja masih cepat dapat menguasai permainan ini, apalagi mereka yang masih muda dan aktif sekali ketika itu.

Nur Aniess Shamida (Anne)

Selepas menamatkan pengajianku di MPSAH dan layak menjadi guru di sekolah, tepatnya pada bulan Januari 2001 aku telah ditugaskan mengajar di daerah Hulu Perak, di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Hulu. Aku dan isteri memilih untuk menetap di Baling, apa lagi ketika itu isteriku memang sudah mula mengajar di Sekolah Model Khas Baling sejak dari tahun 2000. Memilih tinggal di Baling pada awalnya bukanlah satu pilihan yang mengembirakan hati. Apa lagi saat itu, Baling merupakan sebuah daerah kecil yang belum punya banyak kemudahan dan terasa sangat jauh terpencil serta masih sunyi suasananya. Di bandingkan dengan suasana sebelumnya, ketika kami tinggal di daerah kota dan bandar-bandar besar seperti Ipoh, Pulau Pinang dan paling tidak sebelumnya di Sungai Petani, memang Baling jauh berbeza. Di kota-kota tidaklah sunyi seperti di sini, ada saja tempat hiburan untuk dikunjungi bagi menghiburkan hati anak-anak kecil kami. Tapi di Baling memang sangat sepi, tempat hiburan jauh sekali malah tak ada sama sekali. Kalaupun ada cuma tempat-tempat rekreaksi seperti air terjun Lata Bayu, Lata Mengkuang, Lata Bukit Hijau atau juga Kolam Air Panas di Ulu Legong.

Pada awalnya ketika kami tinggal di sini, rasanya sangat sulit untuk beradaptasi. Apa lagi bila memikirkan masa depan anak-anak kami. Rasa takut mula menghantui diri, anak-anak takutnya nanti tak pandai nak menyesuaikan diri. Kata orang tinggal di desa menyebabkan mental anak-anak tidak berkembang baik dan akan merasa rendah diri. Tapi kami tidak punya banyak pilihan lagi, semuanya harus dihadapi dengan cekal dan berani. Sesuatu harus dilakukan supaya anggapan orang dapat dinafi. Tinggal di kawasan kampong bukan bermakna kita harus menyerah diri, takdir sebenarnya masih boleh diubah dengan berdikari. Asal saja kita mahu berikhtiar dan berusaha membuat perubahan dalam diri. InsyaAllah setiap sesuatu itu akan ada hikmahnya sendiri.

Shamida bersaudara di Kejohanan Remaja Kebangsaan

Kami memilih untuk tinggal di kuartes guru Sekolah Model Khas Baling, kebetulan isteriku ditempatkan mengajar di sini. Sekolah ini memang sangat istimewa kerana sekolah rendah dan menengah ditempatkan sekali dalam satu pentadbiran yang sama pula lagi. Sekolah ini ketika itu dianggap sebagai sekolah untuk memberi peluang dan ruang belajar kepada anak-anak dari kalangan rakyat berpendapatan rendah dan tergolong miskin, tapi mempunyai potensi dalam pelajaran dan sukan. Sekolah bantuan penuh kerajaan dengan semua pelajarnya ditempatkan di asrama, dengan kadar bayaran yuran yang sangat rendah sekali. Seingat aku yuran asrama yang dikenakan ketika itu cuma RM10.00 sebulan bagi setiap pelajar. Malah hampir semua pelajar sekolah menengah pula akan dibekalkan juga bantuan biasiswa. Pelajarnya pula dipilih dari seawal tahun 4 sehinggalah ke tingkatan 5.

Hebatnya, sekolah ini mempunyai kemudahan sukan yang setaraf dengan sekolah Berasrama Penuh di bandar-bandar. Antara kemudahan yang canggih yang dimiliki ialah 3 gelanggang tenis dalam keadaan memang sangat baik sekali. Tapi sayang tidak dilengkapkan dengan net menyebabkan tiada sesiapapun yang dapat bermain dan memanfaatkan gelanggang sebaik ini. Aku melihat itu merupakan satu pembaziran jika terus dibiarkan begitu saja, lalu aku mengambil peluang untuk melatih anak-anak kami di sini. Aku menyatakan hasrat hatiku kepada isteri supaya memohon kepada pengetua mendapatkan kebenaran melatih anak-anak sekolah yang berminat dan sekaligus dapat melatih anak-anak kami juga nanti. Hasrat kami itu kemudian diperkenankan oleh pengetua sekolah, dan bermulalah episod pencarian bakat dan hasrat untuk melatih anak-anakku tertunai juga akhirnya.

Tapi semua itu tidak semudah seperti yang dijangkakan. Halangan tetap saja ada, apa lagi ketika itu yang ada cuma gelangang semata-mata. Kemudahan dan peralatan sebenar masih tak punya, termasuklah net yang menjadi hal paling utama. Untuk membeli net memang saat itu perlu belanja yang besar. Apa lagi kami harus membeli keperluan utama lain seperti raket dan juga bola. Tuan Pengetua awal-awal lagi telah menyatakan sekolah tidak punya peruntukan untuk berbelanja, sekolah baru wang masih sedikit dan tidak dapat menampung biaya.

Sebagai langkah agar usaha melahirkan bakat pemain tenis tidak berkubur begitu saja, aku dan isteri mula berikhtiar mencari jalan keluar. Pertama memikirkan bagaimana mendapatkan net agar permainan dan latihan dapat segera dimulakan tanpa perlu mengeluar biaya yang besar. Kedua mendapatkan raket untuk kegunaan pemain, kerana ketika itu harganya memang sangat mahal dan tak mampu dibeli oleh pelajar, apa lagi rata-rata mereka anak-anak miskin dari kampong yang tak punya.

Tapi ternyata anak-anak ini punya idea yang cukup hebat. Mungkin saja mereka anak kampong yang sering gunakan jaringan untuk menangkap ikan di sungai, atau juga menjerat burung di bendang. Aku masih ingat cadangan dari pelajar yang bernama Asrul dan Azhar, memang cukup baik sebagai jalan keluar.

“Sir, apa kata kita gunakan jaring berwarna hijau yang dijual di kedai hardware untuk dijadikan net. Jaring yang biasanya dibuat pukat menjerat burung atau ikan.” Cadangan dari Azhar memberi jalan keluar.

“Tak ada masalah Sir, saya, Shamimi, Khairul dan kawan-kawan yang lain akan bantu pasangkan tali dan kemudian kita ikat kat tiang yang dah memang ada di court tenis tu,” Asrul pula menyampuk menguatkan cadangan Azhar sebelumnya.

“Supaya nampak jelas, di atas net tu nanti kita staplerkan surat kabar, jadi nampak terang sikit,” giliran Shamimi pula memberi saran yang dianggap lucu oleh kawan-kawan yang lain sehingga disambut dengan gelak ketawa rakan-rakan mempersendakan cadangan yang dikemukakan.

Akhirnya atas idea dan cadangan pelajar-pelajar yang berminat menjadi pelatih, aku dan isteri cuba mengadaptasi idea yang diberi. Kami berusaha mendapatkan jaring dengan membeli sediri di kedai. Ternyata cadangan mereka yang awalnya seperti lucu itu ada benarnya juga. Net yang menjadi masalah sebelumnya dapat kami atasi segera, walaupun nampak jelek tapi yang penting boleh dimanfaatkan. Apa yang paling penting anak-anak dapat bermain segera, minat pelajar-pelajar tak harus disia-siakan begitu saja. Siapa tahu di antara mereka akan lahir sebagai jaguh tenis nantinya, ataupun paling tidak akan membuka mata bahawa anak kampong juga boleh menjadi juara.

Bermula dari peristiwa itu maka sejarah penglibatan keluarga Shamida dalam sukan tenis pun membuka tirainya. Walaupun pada awal-awalnya hanya menjadi bahan ketawa rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar yang hairan melihat kelengkapan alat yang tersedia diguna. Mana tidaknya, tiada satupun alatan yang dipakai menepati standard sukan tenis sebenarnya. Bermula dari raket, net dan bola yang semuanya aku dapatkan secara percuma dan ikhsan dari teman-teman yang sudi memberi sumbangan, alat-alat yang tidak lagi mereka gunakan. Tapi apa yang penting semua itu sangat bernilai buat aku dan pelatih-pelatih baru yang setia. Apa yang penting juga minat anak-anak ini menjadi bekalan untuk aku memulakan latihan dan tidak mustahil mereka akan berjaya walau tiada sesiapapun yang pernah memberi harapan.

Ikrarku saat itu, semua ini aku lakukan untuk anak-anak kami nanti. Aku mahu anak-anak kami melihat dan mempelajari kesungguhan yang kami cuba tonjolkan. Tidak ada hal yang mustahil untuk kita lakukan seandainya kita ada kemahuan. Tidak ada kejayaan yang datang menggolek tanpa usaha keras dan sesuatu yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan kejayaan. Aku ingin anak-anak kami memahami falsafah hidup yang kami terapkan. Aku ingin anak-anak kami belajar cara hidup dari seawal usia supaya mudah menghadapi cabaran di masa hadapan.

Ternyata sukan tenis mempunyai satu keistimewaan yang tidak bakal aku lupakan. Tenis tidak sekadar satu sukan atau juga satu permainan, tapi tenis mempunyai seribu satu makna yang tersurat dan tersirat. Makna yang bakal mewarnai sejarah perjalanan anak-anak Shamida menempohi cabaran dan dugaan dalam hidup. Tenis mengajarkan kami bahawa dalam kehidupan kita harus punya keinginan….., dan setiap keinginan itu harus kita tunaikan….., tapi tetap saja akan ada cabaran yang menjadi halangan…., halangan bukan bermakna kita harus melupakan apa yang diinginkan….., halangan harus menjadi satu kekuatan untuk kita lebih berusaha mendapatkan segala impian…., kerana halangan itu bukan lagi satu cabaran bila kita berusaha bersama-sama dalam satu ikatan kekeluargaan….bersama-sama bersatu hati mencari jalan keluar dengan berusaha dan terus berusaha meningkatkan keupayaan dan mencari keyakinan diri….., dan akhirnya kejayaan yang diimpikan akan menjadi suatu yang sangat bermakna dan membanggakan bagi setiap orang dari kami….itulah prinsip dan falsafah Shamida Tennis Family”…..setiap sesuatu harus bermula dengan fantasi dan akhirnya akan dijelmakan menjadi sebuah realiti…..

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman,

Teratak Shamida, 11 September 2011.

Khamis, 28 Ogos 2008

Shamida's




Shamida's.......

Menjadi pemain tenis yang mencipta nama besar di arena antarabangsa serta menjadi kebanggaan negara merupakan impian Shamida bersaudara. Bermula dengan Mohd Alieff Shamida, kemudian susuri oleh Mohamad Arieff Shamida dan kini hadir pula Nur Aniess Shamida meneruskan tradisi keluarga Shamida untuk mencipta nama di gelanggang tenis. Walaupun bermula sebagai jaguh di sebuah daerah kecil di Baling, Kedah, anak-anak ini telah meneruskan langkah sehingga mencipta nama di peringkat negeri, kebangsaan dan seterusnya mencuba meneroka langkah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Minat yang pada mulanya merupakan hobi untuk mengisi masa lapang sebagai beriadah bersama keluarga, secara tidak disangka-sangka telah membawa anak-anak ini sehingga mencipta nama di peringkat negeri Kedah dan Kebangsaan.

Mohd Alieff Shamida bermula dengan mewakili Negeri Kedah di Kejohanan Tenis MSSM pada tahun 2003, sempat mencipta nama sebagai pemain tenis negeri Kedah yang pernah mencipta kejayaan di Kejohanan-kejohanan anjuran LTAM dan MSSM, termasuklah antaranya menjuarai LTAM Kids Grand Prix, Circuit Sportexcel-LTAM-MSSM dan Junior International Open. Sehingga kini Mohd Alieff masih terus aktif dan masih kekal menjadi barisan utama pemain remaja negeri Kedah.

Kecemerlangan Mohamad Alieff dilengkapkan lagi dengan penyertaan Mohamad Arieff Shamida dalam sukan tenis ini. Mohamad Arieff malah telah melengkapkan lagi pencapaian keluarga Shamida apabila sering bersama-sama abangnya bertembung di perlawanan akhir di setiap kejohanan yang dianjurkan di peringkat negeri Kedah. Malah mereka berdua juga berpasangan untuk merangkul gelaran utama dalam kategori beregu. Mohamad Arieff malah lebih jauh melangkah apabila telah menjadi tunjang utama tenis remaja kebangsaan seawal usia 10 tahun. Malah Arieff Shamida telah menjuarai pelbagai kejohanan Tenis anjuran LTAM-MSSM-MSN, juga kejohanan Remaja Terbuka Antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia bermula dari tahun 2004 hingga kini.

Sesuatu yang istimewa dimiliki oleh anak-anak ini berkat sokongan dan dorongan yang diberikan oleh pihak tertentu antaranya, Pengurusan Persatuan Tenis Negeri Kedah, Mr. Cheng dari Persatuan Tenis Perlis, Yang Berbahagia Dato' Malik bekas Vice Presiden LTAM, Mr. Taisto Sinkonnen (Jurulatih Pembangunan Tenis MSN) dan ramai lagi yang baik secara langsung maupun tidak langsung membantu menyerlahkan bakat anak-anak ini.

Kini adik bongsu keluarga Shamida mula menonjolkan bakat untuk turut mengikut jejak langkah abang-abangnya. Nur Aniess Shamida yang sering menjadi pengiring abang-abangnya ke mana sahaja ketika zaman bayinya kini mula berjinak untuk menjadi bintang baru dalam sukan tenis. Mula mendapat pendedahan bermain ketika berusia 5 tahun dengan menyertai kejohanan LTAM Kids Grand Prix di Perlis pada tahun 2006. Tahun berikutnya iaitu 2007 Anies Shamida telah menyerlahkan bakatnya apabila berjaya menjadi naib johan di kejohanan yang sama di peringkat Zon Utara di Kangar, Perlis dan di Peringkat Master di Kuala Lumpur. Tahun ini Aniess sekali lagi akan tampil dengan azam untuk memburu kejuaraan dalam kejohanan yang sama.

Viva Shamida's

Mohd Alieff Shamida, Mohamad Arieff Shamida & Nur Aniess Shamida.

Isnin, 4 Ogos 2008

Shamida's Tennis Memories













Alieff Shamida - NTC Jalan Duta Kuala Lumpur




Arieff Shamida and partner celebrating after winning the boys Under-14 doubles
Ayam A1 National Junior Open Tennis
2009


Alieff Shamida, Arieff Shamida & Coach Joe (Philiphines)
Langkawi Junior International Open 2008



Aksi Areiff Di ECM Libra 2008
NTC Jalan Duta Kuala Lumpur





Aniess Shamida - NTC Kuala Lumpur






Arieff Shamida & Aniess Shamida
NTC Kuala Lumpur




Sepanjang tahun 2008, Alieff Shamida, Arieff Shamida dan Aniess Shamida telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan yang disertai. Kejayaan dicapai tidak hanya di peringkat Negeri dan kebangsaan, malah kejayaan juga dicapai sehingga kejohanan-kejohanan di peringkat terbuka International.

Pada tahun 2009 Arieff Shamida telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan. Bermula dengan kejayaan merangkul Johan Double di Kejohanan Sportexcel Leg pertama, kejayaan manis terus dilakar apabila berjaya mencapai Johan Single di Kejohanan Sportexcel 2nd leg. Lakaran manis terus dicipta apabila berjaya merangkul Johan Double dan Naib Johan Single di Kejohanan Ayam A1 Junior Open 2009.



Tahniah dan syabas........









































































































Banner Maker