Mutiara Kata

Dalam kehidupan ada cabaran, dalam kehidupan ada kemahuan dan keinginan, dalam kehidupan ada keupayaan, dalam kehidupan ada kehebatan dan dalam kehidupan ada kesungguhan......kejarlah....carilah....capailah....apa saja yang kita inginkan...lakukan dengan penuh keyakinan, lakukan dengan penuh keberanian....lakukan demi mencapai satu kebahagiaan....kebahagiaan yang memenuhi segala impian....

Selasa, 4 Oktober 2011

Tennis Runs in Our Blood

Shamida Tennis Family – Part 6

“MUTIARA HATI”

Setelah sekian lama menantikan hadirnya seorang puteri, akhirnya tercapai juga segala impian yang dihajati menjadi penyeri keluarga kami. Tahun 2001 sebenarnya menjadi titik permulaan yang sangat bermakna dalam keluarga Shamida. Setelah melewati masa lebih setahun menetap di Baling, kami menyambut kehadiran seorang puteri menjadi pelengkap mendampingi dua orang putera yang telah kami miliki sebelum ini. Tepatnya pada tanggal 13 Mac 2001 keluarga Shamida menerima seorang lagi cahayamata menjadi pengikat kasih cinta setia. Kahadiran seorang puteri yang sangat dinanti-nantikan ini, membuatkan keluarga kami menjadi sangat bahagia dan gembira sekali. Satu anugerah yang tidak ternilai sekali, apa lagi sebelumnya keluarga Shamida telah dikurniakan dengan dua orang putera sebagai penambat kasih sayang kami.

Puteri yang satu-satunya ini, kami namakan ‘Nur Aniess Shamida’ yang membawa maksud ‘cahaya keakhraban’. Diharapkan kehadiran puteri yang satu ini di sisi, akan mendekatkan lagi kasih sayang di antara kami sekeluarga. Sudah semestinya, akan menjadi tali pengikat yang akan memperkukuhkan cinta dan kasih antara sesama kami dalam keluarga tercinta.

Kini ‘Shamida Family’ sepertinya sudah lengkap sekali. Ada 2 orang putera dan seorang puteri sebagai penyeri. Kehadiran Nur Aniess memang sangat dinanti-nanti, apalagi kehadiran seorang puteri untuk mendampingi ibu sebagai teman sejati. Dua orang putera sebelumnya memang sudah cukup menjadi penyeri, tapi kehadiran seorang lagi anak puteri sangat-sangat disyukuri. Kehadiran Nur Aniess menambahkan lagi cerianya keluarga ini.

‘Anne’, panggilan manja untuk puteri kami yang satu ini. Kehadiran Anne sememangnya telah membawa sinar bahagia dalam keluarga kami. Satu persatu kejayaan hadir sebagai mengisi perjalanan hidup dalam keluarga yang sederhana ini. Hadirnya Anne di sisi, benar-benar menjadi titik tolak kepada anak-anak Shamida yang lain untuk mara menempa kejayaan. Kejayaan yang dalam pelajaran maupun sukan tenis yang menjadi kebanggaan mengankat nama anak-anak kami.

Puteri yang satu ini memang cukup istimewa. Sejak kecil dari seawal usia, Anne sudah menjadi pendamping abang-abangnya baik belajar di rumah maupun bermain di gelanggang. Sudah kebiasaan anak-anak kami Alieff dan Arieff suka membaca. Sesudah membaca Anne akan menjadi tempat mereka berkongsi cerita, mencurah isi apa yang dibaca. Ada kalanya Anne sampai terlena mendengar cerita abang-abangnya. Di gelanggang pula Anne akan menjadi pengutip bola yang setia. Setiap kali turun bermain atau latihan ke gelanggang tidak kira masa, Anne pasti akan turut sama. Walaupun tidak sebagai pemain, tapi Anne dilihat sangat gembira melihat abang-abangnya berlatih sambil bersama mengutip bola.

Memang minat Anne terhadap tenis sangat mengejutkan kami sekeluarga. Seawal usia 4 tahun Anne sudah mula berjinak-jinak untuk mula menghayun raket dan memukul bola tenis di gelanggang. Tidak seperti kanak-kanak kecil yang lain, Anne akan kelihatan sangat gembira berada di tepi gelanggan apabila melihat abang-abangnya beraksi dalam sesuatu kejohanan. Tidak pernah Anne menimbulkan masalah, walaupun terpaksa berada di tepi gelanggang dalam cuaca panas dan hujan. Minat yang mendalam itu telah menyakinkan kami bahawa Anne suatu hari nanti akan menjadi seorang pemain tenis yang akan membanggakan keluarga kami.

Keyakinan ini sememangnya menjadi realiti. Minat Anne terhadap sukan tenis tidak dapat kami bendung dan bakatnya terserlah sekali. Mungkin kerana sering melihat abang-abangnya meraih kejayaan ketika beraksi, Anne berminat untuk ikut jejak dan meneruskan tradisi keluarga kami. Menjelang usia 4 tahun Anne sudah mula turun ke gelanggang dan menghayun raket untuk bermain. Malah sangat bangga sekali melihat kesungguhan dan keseronokkan bila gadis kecil kami ini bermain. Raket dihayun lebih tinggi dari dirinya sendiri, tapi pukulan bolanya baik dan tepat sekali. Sangat lincah berlari ke sana ke mari, tidak pernah terpancar rasa letih walaupun berjam-jam berlatih setiap hari.

Memasuki usia 5 tahun Anne telah menampilkan keberanian untuk bertanding di kejohanan tenis sebenar. Kejohanan pertama disertai oleh Anne ialah LTAM Kids Grand Prix 2005 yang diadakan di Kangar, Perlis. Walaupun rata-rata pemain jauh lebih dewasa, namun Anne tidak pernah ada rasa gentar untuk berhadapan dengan mereka. Kematangan Anne memang sangat membanggakan, walaupun gagal mencapai sebarang gelaran juara, tapi keberanian Anne sebanarnya sudah cukup mengembirakan kami. Anne mencipta sejarah menjadi pemain paling muda yang beraksi.

Pengalaman beraksi dalam kejohanan di tahun sebelumnya, membuatkan Anne lebih berkeyakinan untuk tampil bertanding di tahun 2006. Kali ini penyertaan Anne bukan lagi sebagai pengisi kejohanan, tapi tampil untuk merangkul kejuaraan. Tapi sepertinya pengalaman yang ada belum cukup untk meletakkan Anne menjadi johan. Anne walaupun mara ke final tapi tunduk kepada Farah pemain Perlis yang juga berbakat dan usianya setahun di atas Anne. Tetapi kejayaan menjadi runner up sebenarnya sudah cukup membanggakan. Kerana dalam usia 6 tahun Anne sudah berhasil merangkul kejayaan di peringkat kebangsaan. Ini bermakna Anne lebih berjaya dari abang-abangnya Alieff dan Arieff yang mula menyerlah ketika usia mereka melewati 10 tahun.


Bakat dan kehebatan Anne lebih terserlah lagi ketika umurnya menjelang 7 tahun. Anne telah mula menunjukkan keupayaannya untuk menyaingi kejayaan yang pernah diraih oleh abang-abangnya sebelum ini. Pada tahun 2007 Anne telah menyertai beberapa pertandingan di peringkat nasional dan international, malah berjaya meraih beberapa kejayaan yang membanggakan. Antara kejayaan yang diraihnya ialah runner up Master Kids Grand Prix 2007 dan champion Kejohanan Perlis International Juniors Tennis Championship 2007. Kejayaan ini memang sangat membanggakan kami sekeluarga, apa lagi Anne sepertinya akan terus mewarisi bakat dan kejayaan yang pernah dicapai oleh abangnya Alieff dan Arieff sebelumnya.

Hari ini Anne memang jauh berbeza, penampilan dalam sukan tenis telah mencipta juara. Kalau dulu hanya bisa bangga dengan kejayaan abang-abangnya saja, tapi kini Anne telah bersama mencipta nama. Dalam usia yang masih muda, kejayaan demi kejayaan telah Anne cipta. Tahun 2011 memang mencatatkan rasa bangga, Anne tampil menjadi juara bersama abang-abangnya. Di Kejohanan Tennis Perak Junior. Tahun ini juga Anne mencipta nama, Kejohanan ITF Junior ditawannya juga.

Selepas menyaksikan kejayaan yang diraih oleh Alieff dan Arieff dalam pelbagai kejohanan tenis yang telah mereka sertai, menjadikan Anne lebih berusaha keras untuk mengejar impian meraih kejayaan yang sama seperti pernah dicapai oleh abang-abangnya. Sangat membanggakan apabila anak-anak ini berkongsi minat yang sama dan sentiasa positif untuk mengejar impian mencapai kejayaan baik dalam pelajaran maupun sukan tenis. Sesuatu yang sangat membanggakan kami sekeluarga ialah sukan tenis telah dapat merapatkan lagi ikatan kekeluargaan di antara kami. Kami sentiasa akan bersatu dan bersama, ke mana dan di mana sahaja…..untuk tenis kami akan sentiasa bersatu hati.

Kini kami boleh berbangga, walaupun anak-anak Shamida tidak sehebat mana, tapi tenis telah menjadi mereka mengenal dunia dengan lebih bermakna. Tenis telah memberi ruang kepada anak-anak Shamida mencipta nama dan kejayaan, walaupun tidak seberapa tapi cukup untuk dibanggakan oleh kami sekeluarga.

Bravo… Mohd Alieff Shamida, Muhamad Arieff Shamida dan Nur Aniess Shamida…..teruskan mengejar impian menjulang kejayaan dan abadikan ‘Shamida Tennis Family’ untuk terus menjadi slogan kebanggaan….

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman,

Teratak Shamida, 30 September 2011.

Jumaat, 23 September 2011

Tennis Runs in Our Blood

Shamida Tennis Family – Part 5

“SINAR BINTANG”

Sinar suria memancarkan cahaya menerangi alam dan menyuluh bumi. Burung-burung berkicau riang, seolah-olah membawa khabar gembira untuk dikongsikan bersama. Pohon-pohon hijau rendang merimbun, menyejuk rasa setiap mata yang memandang. Unggas di taman bersiul-siul kegirangan, melihat kumbang menari-nari terbang mendekati bunga yang mekar berkembang. Ikan di kolam turut berkejar-kejaran, seolah-olah meraikan kejayaan menjulang kemenangan.

Begitu juga dengan cerita yang aku ingin kongsikan. Mengangkat kisah Shamida bersaudara meraikan kejayaan pertama yang sangat membanggakan. Setelah beberapa tahun mengharungi cabaran, membuat persediaan dan bertungkus lumus menjalani latihan, akhirnya terbukti juga sebenarnya anak-anak ini mampu menjadi pemain yang berjaya dan disegani. Tahun 2004 sememangnya mencatatkan kenangan yang sangat bermakna kepada kami sekeluarga. Setelah sekian lama menantikan untuk mencipta kejutan dan mengimpikan kejayaan menjadi pemain tenis yang dapat mengharungi cabaran, akhirnya Alieff dan Arieff membuktikan mereka bukan sekadar jaguh kampong saja. Hari ini Alieff dan Arieff tampil sebagai pemain tenis yang mengharumkan nama daerah Baling dengan menjulang kejuaraan tenis Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Kedah. Kejohanan yang diadakan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar itu telah mengejutkan banyak pihak. Dua kejuaran sekaligus diraih, Arieff menjadi johan single mengalahkan abangnya sendiri Alieff di final dan kemudian Alieff dan Arieff berpasangan menjulang kejuaraan double mengalahkan pemain dari kota Setar yang dianggap terhebat ketika itu. Maka mulalah terlakarnya kenangan terindah.memandang. Unggas di taman bersiul-siul kegirangan, melihat kumbang menari-nari terbang mendekati bunga yang mekar berkembang. Ikan di kolam turut berkejar-kejaran, seolah-olah meraikan kejayaan menjulang kemenangan.

Mohd Alieff Shamida mewakili negeri Kedah di Kejohanan MSSM

Seperti yang telah dijanjikan pada tahun sebelumnya, Arieff dan Alieff telah melunaskan impian untuk muncul sebagai juara menebus kehampaan. Tapi suatu perkara yang paling membanggakan, Arieff muncul mencipta kejayaan merangkul kejuaraan dalam usia 9 tahun, satu catatan sejarah yang belum pernah berlaku sebelumnya. Apa lagi saat itu di final menemukan pertarungan dua bersaudara ini sesama sendiri. Keadaan ini membuktikan dan membuka mata pemain-pemain lain bahawa anak dari daerah kampong ini telah memecah tradisi mendominasi permainan yang dahulunya dikuasai oleh anak-anak elite dari bandar. Turut membanggakan kami, kejayaan Alieff dan Arieff juga memberi inspirasi kepada teman-teman sepasukan untuk turut meraih kejayaan mendapat tempat ketiga dalam kategori double. Sebenarnya itu juga merupakan bonus untuk kontigen Baling yang sebelumnya dianggap pasukan belasahan.

Areiff & Alieff bersama Tennis Team Kedah ke Kejohanan MSSM

Kejayaan yang diraih oleh Alieff dan Arieff telah membuka peluang untuk mereka mencipta nama di peringkat kebangsaan. Selepas berjaya di peringkat negeri, aku mengambil peluang untuk memberi pendedahan kepada mereka berdua untuk mencuba peluang bertanding di kejohanan Sport Excel Circuit yang diadakan dibeberapa buah negeri. Kebetulan semua kejohanan itu diadakan pada musim cuti persekolahan, jadi aku dan isteri tidak punya halangan untuk menemani anak-anak ini. Kami anggap itu sebagai aktiviti mengisi masa cuti bersama, paling tidak anak-anak ini dapat melakukan sesuatu yang memberi banyak manfaat dari membuang masa begitu saja.

Pengalaman tampil untuk pertama kalinya di Kejohanan bertaraf Circuit Kebangsaan ini bermula di Kangar, Perlis. Kebetulan aku mendapat khabar dari Cikgu Halim, Pengerusi Teknik Permainan Tenis Sekolah-Sekolah Negeri Kedah (PTPS), bahawa ada kejohanan tenis bagi anak-anak di bawah usia 9 dan 11 tahun anjuran Lawn Tennis Association of Malaysia dan baik untuk diberikan pendedahan kepada anak-anak kami. Kejohanan itu tepatnya dikenali sebagai LTAM Kids Grand Prix, yang bertujuan mencari bakat muda untuk diketengahan di peringkat yang lebih tinggi. Lalu aku dan isteri terus mendaftarkan Alieff untuk kategori bawah 11 tahun dan Arieff untuk kategori bawah 9 tahun. Kami tidak menetapkan sasaran yang tinggi kepada anak-anak, cukup sekadar memberi pendedahan bertanding supaya mereka mengutip pengalaman yang baru dan membina keyakinan diri.

Kejohanan yang diadakan di Kangar, Perlis itu menampilkan pemain-pemain muda yang berbakat dari negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Kebanyakkan mereka yang menyertai kejohanan itu pula adalah dari kalangan anak-anak yang dilatih oleh jurulatih profesional dari Tennis Club bagi negeri-negeri yang disebutkan tadi. Pada hari pertama mendaftarkan diri, melihatkan penampilan pemain yang menyertai kejohanan ini memang terserlah hebat sekali. Apa lagi rata-rata anak-anak ini hadir dengan keluarga dan jurulatih mereka sekali. Melihat keadaan itu saja, anak-anak kami sudah merasa jauh diri. Cara penampilan pemain dengan pakaian, peralatan raket, beg, kasut berjenama dan macam-macam lagi lagaknya membuatkan aku rasa anak-anak kami memang sangat sederhana. Apa lagi kedengaran adanya nama besar seperti Asyraf pemain dari Pulau Pinang, wakil-wakil club dari Perak, Pulau Pinang dan Perlis yang memiliki banyak pengalaman bermain dan memang telah mencipta nama di peringkat kebangsaan.

Melihatkan Alieff dan Arieff seperti mula ada rasa merendah diri, aku dan isteri cuba memberi dorongan dan kata-kata semangat. Kata hikmat yang sampai kini selalu diingat, “kalah itu biasa, menang belum tentu”, aku ucapkan sebagai penguat semangat. Harapanku saat itu, supaya Alieff dan Arieff berani memberi cabaran, bukan takut dengan kekalahan…., tapi harus bertarung sehingga ke titik penghabisan…, kalah menang bukan lagi jadi urusan…, apa yang penting tampil dengan penuh keyakinan…, supaya peluang yang ada tidak disia-siakan.

Kids Grand Prix 2004

Pengalaman pertama memang menjadi sesuatu yang sangat teruja bagi kami sekeluarga. Apa lagi sukan tenis ini sebenarnya mainan golongan elit dari kalangan keluarga pelbagai bangsa. Deretan kereta mewah di sekeliling gelanggang saja sudah cukup menjelaskan kepada kami, bukan calang-calang orang yang hadir memberi sokongan kepada anak-anak mereka. Tapi paling tidak kami sekeluarga masih boleh berbangga. Anak kami masih tidak kalah dalam penampilan mereka. Walaupun hadir sebagai anak seorang guru sekolah biasa, tapi bakat yang mereka punya tak kalah hebat dari anak-anak orang berada.

Memang ketika kali pertama nama dipanggil untuk memulakan perlawanan, nama Alieff dan Arieff tidak ada yang memberikan harapan. Rata-rata menganggap mereka bakal jadi mangsa belasahan, apa lagi bila ditanya itulah pengalaman pertama menyertai kejohanan. Tapi anak-anak ini memang sangat membanggakan, menghadapi lawan tidak pernah hiraukan halangan. Memberi tentangan tidak mudah ditundukkan, membuatkan setiap perlawanan sengit dan menjadi tumpuan. Ramai yang terkejut dengan bakat yang ditunjukkan, tidak pernah lihat tampil bermain tapi sangat liat untuk ditundukkan. Ramai lawan yang yang menjadi mangsa kekalahan, Alieff dan Arieff sama-sama tampilkan kehebatan dan kelincahan. Satu demi satu lawan berjaya ditundukkan.

Alieff Shamida & Ahmad Djoni (Turkmanistan)

Sepanjang kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, nama ‘Shamida’ mula menjadi sebutan. Tiba-tiba saja ramai yang terkejut dengan penampilan bersahaja Alieff dan Arieff. Mana tidaknya kedua-dua mereka mengungguli kategori masing-masing. Sehingga akhirnya Alieff dan Arieff sama-sama layak ke perlawanan akhir. Sesuatu yang sangat mengejutkan, terutama penganjur kejohanan Mr. Cheng dan Mr. Taisto Sinkonen jurulatih pasukan remaja kebangsaan berbangsa Finland yang dihantar untuk memantau kejohanan. Tentu saja sebagai ayah dan ibu, kami sangat bangga dengan kejayaan yang Alieff dan Arieff telah tunjukkan. Apa lagi bila ramai jurulatih dan keluarga pemain yang hadir memberi kata-kata galakkan dan pujian. Melihatkan penampilan dan kejayaan yang diraih ketika itu, sepertinya memberi makna besar kepada apa yang telah kami tunaikan sebelumnya. Masa dan dan tenaga yang digunakan untuk melatih anak-anak ini terasa telah dibalas dengan sebaik-baiknya. Kejayaan Alieff dan Arieff membuatkan kami tidak melakukan kerja yang sia-sia, seperti anggapan ramai teman-teman dan keluarga kami sebelumnya

Arieff Shamida & Mohd Asri (Sarawak)

Di pentas final, Alieff bertemu pilihan pertama anak didik jurulatih terkenal Mr. Francis Soo dari Pulau Pinang bagi kategori boys 11&under. Arieff pula seperti dijangkakan bertemu dengan pilihan pertama kejohanan, Asyraf anak didik jurulatih tersohor juga merupakan ayah kepada Jawariyah pemain tenis wanita no.1 Malaysia, Mr. Nordin dari Pulau Pinang bagi kategori boys 9&under. Memang kalau dilihat dari kemungkinan yang ada, Alieff dan Arieff bakal menghadapi kekalahan mudah. Apa lagi dengan pengalaman yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan lawan masing-masing yang memang sudah terkenal hebat sebelumnya. Tapi dalam sukan, sebenarnya banyak hal yang harus diperhitungkan. Bakat, kemahiran, latihan, kecekalan, keberanian, stamina, teknikal dan tektikal belum tentu cukup untuk memberi kemenangan. Tapi ada lagi sebenarnya yang lebih penting, faktor ini dibuktikan oleh anak-anak kami iaitu kesungguhan, keyakinan dan kecekalan serta semangat tak mahu menyerah kalah sehingga sampai ke penghabisan perlawanan.

Arieff Shamida & Coach Mr Taisto Sinkonen

Atas semangat bermain untuk mencipta kejutan, akhirnya Alieff dan Arieff berjaya membawa pulang gelaran champion. Lebih membanggakan lagi, kejayaan itu diiringi dengan khabar gembira apabila kedua-duanya akan mewakili Zon Utara ke Kejohanan Master Kids Grand Prix yang bakal diadakan di Pusat Tenis Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur. Kejayaan itu menjadi sesuatu yang sangat membanggakan kami sekeluarga, ditambah lagi Alieff dan Arieff juga turut mendapat tawaran dari Mr. Taisto untuk diserapkan dalam ‘Malaysian Junior elite team’. Menerima tawaran ini bermakna Alieff dan Arieff akan berpeluang menjalani latihan bersama pemain-pemain remaja Malaysia yang dikendalikan oleh barisan jurulatih profesional. Satu lagi sebenarnya kejayaan yang sangat mengembirakan kami sekeluarga. Ternyata pengorbanan kami selama ini tidak sia-sia, Alieff dan Arieff telah membuktikan bahawa walaupun di mana kita berada, dengan kesungguhan dan keazaman yang tinggi tidak mustahil kita boleh berjaya. Ini terbukti apabila anak yang tinggal di daerah Hulu Baling, sebenarnya mampu juga menempatkan diri menjadi pemain tenis yang berjaya. Sukan yang sebelumnya hanya didominasi oleh anak-anak dari kalangan elite di bandar-bandar sahaja.

Alieff Shamida & Arieff Shamida meraikan kejayaan Master Kids Grand Prix 2004

Ketika berlangsung Kejohanan Master Kids Grand Prix di Pusat Tenis Tun Abdul Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur sekali lagi Alieff dan Arieff mencuri tumpuan. Pada kejohanan yang mengumpulkan pemain-pemain terbaik dari seluruh negara yang dicungkil melalui pertandingan yang dikedalikan mengikut zon, Alieff dan Arieff mula mendapat perhatian. Kali pertama berkumpul bersama-sama pemain hebat dan berbakat, Alieff dan Arieff terlihat awal-awal lagi akan tersekat. Melihat gelagat dan gaya pemain hebat dari Kuala Lumpur, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, malah dari Kelantan dan negeri-negeri di Pantai Timur terasa anak-anak kami jauh tertinggal. Tapi seperti yang terjadi di Perlis sebelumnya, anak-anak ini tak pernah mengalah bila bertanding. Satu persatu lawan ditundukkan, sehinggalah akhirnya sekali lagi membuat kejutan layak ke final kejohanan. Pentas final kali ini lebih besar cabarannya, apa lagi Alieff dan Arieff pemain bukan pilihan yang layak bertemu dengan jaguh tenis kebangsaan. Alieff berdepan dengan Syed Agil, jaguh tenis dari Negeri Sembilan, manakala Arieff pula berdepan dengan jaguh tenis dari negeri Kelantan.

Master Kids Grand Prix 2004 - Pusat Tenis Tun Razak, Kuala Lumpur.

Seperti diduga Alieff akhirnya akur kalah di tangan Syed Agil yang jauh lebih berpengalaman. Tapi tetap menampilkan perlawanan yang sangat membanggakan. Walaupun kalah, Alieff tetap menerima pujian, apalagi menjadi pemain bukan pilihan yang tiba-tiba tampil dengan kelainan. Apa tidaknya, bertubuh besar tapi pantas berlari mengejar bola ke kiri dan kanan gelanggang. Arieff pula membuat kejutan, mengalahkan pemain dari Kelantan untuk merangkul kejuaraan. Mencipta kejayaan yang sangat membanggakan, mendapat pujian dari kalangan penonton yang datang menyaksikan pertandingan. Itulah bermulanya titik awal meraikan kejayaan, Alieff dan Arieff munculkan diri sebagai jaguh kebangsaan.

Keratan Akhbar penglibatan Arieff Shamida

Syabas dan tahniah Alieff dan Arieff. Abah dan mama sangat bangga dengan kesungguhan dan kejayaan yang kalian telah raih. Kami tahu semua itu bukan perkara mudah, apa lagi sebenarnya tak mampu abah zahirkan dan gambarkan sepenuhnya dengan ungkapan dan tulisan. Abah tahu tidak akan ada yang akan faham dan mengerti dengan apa yang pernah kita lakukan, kerana kejayaan yang kita raih sebenarnya muncul dengan pengorbanan besar yang terpaksa kita laksanakan. Tapi kalian harus bangga, kerana kejayaan kalian sebenarnya memberi makna yang besar kepada keluarga kita. “Shamida tennis family”…. menjadi lambang kebanggaan untuk kita kenang buat selama-lamanya.

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman,

Teratak Shamida, 23 September 2011.

Selasa, 20 September 2011

Tennis Runs in Our Blood

Shamida Tennis Family – Part 4

“SINAR KEHIDUPAN”

Setelah kembali dari menamatkan pengajian di Universitas Indonesia, aku meneruskan kerjaya sebagai pendidik. Memilih untuk menjadi pendidik memang merupakan satu pilihan yang pada awalnya bukan seperti yang aku impikan. Tapi akhirnya menjadi satu pilihan yang sangat membangggakan. Apa lagi sebelumnya, isteriku juga telah membuat pilihan yang sama setelah terlebih dahulu memilih untuk menjadi guru bahasa Inggeris dan meninggalkan kerjaya di bidang perbankan.

Guru, menurut kebanyakkan orang merupakan kerjaya yang tidak mempunyai banyak cabaran yang boleh dibanggakan. Itu antara tangapan awal yang terpaksa aku hadapi bila memilih menjadi guru sebagai pilihan. Apa lagi bagi orang seperti kami yang merupakan lulusan dari luar negara. Terutama bagi isteriku yang merupakan lulusan dari Universiti di United Kingdom, malah punya kepakaran dalam bidang pengajian computer yang memang saat itu sangat diperlukan. Dilihat dari peluang yang ada, memang mempunyai masa depan dalam kerjaya yang lebih boleh dibanggakan dan menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan.

Tetapi itu semua bukan satu hal yang patut kami sesalkan. Memilih menjadi guru sebenarnya merupakan satu pilihan yang sangat-sangat membanggakan. Memang dari awal-awal lagi kami telah melihat kerjaya ini sangat sesuai dengan jiwa dan keinginan kami. Apa lagi setelah kami ditempatkan mengajar di daerah luar bandar seperti di Baling dan Hulu Perak, yang sangat memerlukan tenaga muda seperti kami untuk mendidik generasi. Di sini jasa kami terasa sangat-sangat dihargai…., di sini kami tidak pernah rasa tidak diperduli….., di sini setiap ilmu yang kami taburkan sangat-sangat disanjung tinggi….., di sini kami bangga kerana dapat menyumbang bakti mendidik anak-anak desa yang kemudiannya dapat meneruskan cita-cita mengejar impian menjadi insan terpelajar.

Tetapi bukan kisah menjadi pendidik yang ingin aku jadikan sajian. Sebenarnya apa yang ingin aku sampaikan ialah, bagaimana dengan memilih menjadi pendidik sebenarnya telah memberi banyak kelebihan kepada kami untuk mencapai kejayaan. Kejayaan dalam melahirkan insan yang dapat mengharungi masa depan yang lebih membanggakan, apa lagi apabila anak-anak didik kami mencipta kejayaan dalam kerjaya dan pelajaran. Tapi satu yang lebih membanggakan kami lagi ialah, apabila anak-anak kami sendiri begitu cekal mengharungi cabaran. Anak-anak kami walaupun dibesarkan di kawasan pendesaan yang boleh dikatakan masih serba kekurangan, tapi masih mampu menyahut cabaran untuk mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

Mengimbas kembali, apabila pertama kali kami memaklumkan kepada keluarga bahawa kami sekeluarga akan berpindah ke Baling, Kedah, terdapat pelbagai reaksi yang diberikan. Kebanyakkan dari ahli keluarga kami menentang hasrat tersebut, malah ada yang meminta supaya kami mempertimbangkan tawaran tersebut dan mengusulkan supaya kami membuat rayuan untuk membatalkan penempatan tersebut. Apa yang menjadi kerisauan keluarga ketika itu ialah, masa depan anak-anak kami yang akan tumbuh membesar di daerah yang tidak mempunyai kemudahan yang selayaknya bagi pertumbuhan mental anak-anak. Apa lagi sebelum ini, anak-anakku Alieff dan Arieff telah dibesarkan dan mendapat pendidikan awal usia kanak-kanak mereka di Pulau Pinang. Sewaktu di Pulau Pinang, Alieff dan Arieff telah kami dedahkan dengan alam persekolahan seawal usia 3 tahun lagi. Sejak awal-awal lagi kami telah menghantar anak-anak ini ke tadika aliran Inggeris dan Cina. Memang Alieff dan Arieff sejak awal lagi telah menunjukkan minat belajar yang tinggi dan cepat mengusai isi pelajaran yang disampaikan kepada mereka.

Menjelang usia 5 tahun, Alieff dan Arieff telah kami hantar ke pra-sekolah aliran Islam. Sama juga seperti sebelumnya, anak-anak ini begitu cepat mengusai isi pelajaran yang diajarkan. Kami sangat bersyukur, kerana Alieff dan Arieff sepertinya sangat senang menerima ilmu yang diajarkan kepada mereka. Mereka dapat menguasai ayat-ayat lazim dan pelbagai doa yang diajarkan dan kemudian menjadi amalan harian mereka. Anak-anak ini juga mempunyai minat membaca yang tinggi, sehinggakan masa-masa yang terluang banyak diisi dengan membaca bahan-bahan ringan seperti buku cerita dan majalah. Kebetulan sewaktu menyambung pengajian di United Kingdom dulu, isteriku banyak membeli buku-buku cerita untuk dijadikan bahan bacaan anak-anak kami bila meningkat usia. Ternyata buku-buku itu sangat bermanfaat buat anak-anak kami ketika itu.

Alieff dan Arieff sebenarnya, tidak seperti anak-anak kecil yang lain ketika usia kanak-kanak mereka. Mungkin saja kerana ketika itu, kami tidak mempunyai kemampuan kewangan yang baik untuk dibelanjakan membeli alat-alat mainan untuk anak-anak. Apa lagi semasa tinggal di Pulau Pinang ketika itu, hanya isteriku sahaja yang bekerja tetap sebagai guru, sedangkan aku masih lagi meneruskan pengajian di peringkat Master di Universiti Sains Malaysia. Pada masa yang sama aku hanya menjawat jawatan sebagai Pembantu Siswazah (Tutor) dengan elaun RM 900.00 sebulan. Sedangkan bayaran sewa rumah pangsa kami saja ketika itu mencecah RM 450.00 sebulan. Kemampuan kewangan yang terbatas ketika itu menyebabkan setiap belanja yang kami lakukan sangat berhemat sekali, termasuk untuk membeli mainan anak-anak saja kami terpaksa berfikir panjang untuk dipenuhi. Tapi kami sangat beruntung, kerana Alieff dan Arieff seperti sangat mengerti dengan kepayahan kami saat itu. Mereka tidak pernah meminta untuk dibelikan sesuatu, dan sepertinya juga mereka tidak punya minat untuk bermain seperti anak-anak yang lain. Masa banyak dihabiskan dengan aktiviti di dalam rumah bersama kami, termasuklah membaca buku, yang sudah menjadi aktiviti masa lapang yang sangat disenangi. Apa lagi memang saat itu kami mempunyai koleksi buku-buku yang banyak sekali.

Mengenang kembali pengalaman dan kepayahan hidup yang kami tempuhi ketika berada Pulau Pinang sebelumnya, menyebabkan kami sangat bersyukur apabila ditawarkan peluang mengajar di Baling walaupun terletak jauh di desa pedalaman. Tapi paling tidak kami harapkan, apabila berhijrah ke Baling nanti, kami akan dapat memulakan hidup baru yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Memang tinggal di desa, kami akan berdepan dengan cabaran baru, tapi diharap kami dapat mengharunginya dengan hati yang cekal dan berani berdasarkan pengalaman kami sebelum ini. Apa sekalipun yang bakal terjadi, hidup harus diteruskan dengan pasti. Masa depan anak-anak harus kami utamakan, di samping itu tanggungjawab yang diamanahkan sebagai pendidik di daerah pedesaan harus kami tunaikan dengan penuh keikhlasan.

Memang pada awalnya apabila membuat keputusan untuk menetap di Baling ini, masa depan anak-anak yang terpaksa kami pertaruhkan. Apa lagi seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, sejak dari usia awal lagi Alieff dan Arieff sudah menunjukkan minat belajar yang tinggi. Di Baling tidak seperti di Pulau Pinang, kemudahan dan keistimewaan untuk anak-anak belajar dan mencari hiburan agak terbatas sekali. Cabaran pertama yang kami hadapi ialah menempatkan Alieff di sekolah rendah yang baik di daerah ini. Sebaik saja kami berpindah ke Baling, Alieff ketika itu layak untuk masuk ke tahun satu di sekolah rendah. Lalu kami mencari sekolah baru untuk mendaftar Alieff di sini. Kami dimaklumkan oleh teman-teman, sekolah rendah terbaik di Baling saat itu ialah Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, yang terletak tidak jauh dari pekan Baling. Tapi untuk mendapatkan tempat di sekolah ini bukan mudah, kerana bilangan pelajar yang diterima di sekolah ini terbatas dan harus melalui ujian saringan. Kebetulan kami terlewat membuat permohonan, kerana ujian saringan sudah dilangsungkan. Itu bermakna peluang Alieff untuk ditempatkan di sekolah ini memang kecil dan tipis sekali. Tapi kami tidak berputus asa, lalu menemui sendiri guru besar sekolah ketika itu yang bernama Puan Faridah. Lalu memohon jasa baik beliau untuk menerima Alieff untuk ditempatkan di sini. Nasib baik ada pelajar yang telah mendaftar terpaksa bertukar mengikut ayahnya yang berpindah, lalu tempat itu bolehlah diisi oleh Alieff. Itulah namanya rezeki, Alieff akhirnya diterima untuk ditempatkan di sekolah yang terbaik di daerah ini.

Masalah menepatkan Alieff di sekolah pilihan dapat kami selesaikan. Tapi timbul pula masalah di mana Arieff nak kami tempatkan. Ketika itu kelas tadika sangat terbatas dan dilihat tidak ada yang sesuai untuk Arieff, apalagi sebenarnya keupayaan belajar Arieff telah melewati usia sebenarnya. Walaupun usia Arieff baru 5 tahun ketika itu, tapi dia sudah dapat mengira, menulis, membaca malah mengusai bahasa Inggeris, Arab dan sedikit bahasa Cina dengan baik. Ini kesan dari pendidikan awal yang diperolehi oleh Arieff di Pulau Pinang sebelumnya. Ketika berusia 3 tahun lagi, Arieff sudah berkenalan dengan dunia pendidikan, malah dia sudah dapat menguasai pelajaran yang diajarkan dengan baik. Memang ini sebenarnya cabaran yang sangat menyulitkan kami ketika itu. Kalau dibiarkan Arieff belajar di Baling, takut nanti dia akan merasa bosan kerana terpaksa mengulang dan mungkin saja ilmu yang akan diperolehi sudah dia dapatkan sebelumnya. Memang betul kata keluarga dan teman-teman kami sebelumnya, masalah menempatkan anak-anak yang merupakan cabaran utama yang bakal kami hadapi apabila berhijrah ke daerah ini.

Akhirnya kami mengambil kata sepakat, biar Alieff bersekolah di Baling dan Arieff akan mengikut aku mencari tempat belajar di Sungai Petani. Saat itu aku setiap hari harus berulang-alik ke Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah. Kebetulan pula, di Maktab Perguruan tempat aku belajar, ada tadika khas bagi pelajar-pelajar pintar. Tapi Arieff harus diuji dulu kecekapan belajarnya sebelum diterima masuk di tadika tersebut. Kami bersyukur akhirnya Arieff diterima untuk belajar di tadika tersebut setelah lulus ujian saringan yang diadakan. Malah Arieff telah mencatatkan nilai yang sangat membanggakan dengan mencapai keputusan yang cemerlang. Bakat belajar yang Arieff tunjukkan ketika itu memberikan satu harapan kepada kami, bahawa suatu hari nanti jika dibimbing dengan baik, tidak mustahil Arieff akan menjadi anak yang dapat membanggakan kami dan berupaya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Arieff meraih kejayaan di Tadika

Sesuatu yang menarik dan tidak dapat aku lupakan sepanjang aku menyambung pengajian di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim ialah ketika setiap pagi kami berbaris dan berkumpul sebelum memulakan kelas. Biasanya setiap pagi semua guru-guru pelatih akan berkumpul dan menyanyikan lagu patriotik dan lagu maktab. Arieff setiap pagi akan mengikut aku berkumpul dalam barisan guru-guru pelatih dan akan menyanyi bersama-sama kami. Arieff akan penuh bersemangat terutama ketika menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’ yang menjadi lagu wajib untuk kami nyanyikan setiap pagi. Malah ketika itu suara Arieff antara yang paling jelas kedengaran sehingga sering mendapat pujian dari pensyarah-pensyarah maktab yang turut sama dalam perhimpunan. Selama setahun melalui pengalaman sedemikian, memang dapat benar-benar mematangkan Arieff, malah dia menjadi sangat aktif, berani dan cepat beradaptasi dalam apa situasi sekalipun. Tidak mustahil selepas itu, ketika berada di sekolah rendah, Arieff mempunyai daya kreativiti yang baik dalam menguasai pelajaran dan juga turut mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

Alieff pula lain kisahnya, ternyata bukan mudah baginya untuk beradaptasi dengan persekitaran baru di Baling. Apa lagi di sekolah, Alieff mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Pada peringkat awal, terlihat Alieff melalui saat-saat sukar untuk mendapatkan teman belajar. Anak-anak kami ada masalah untuk berkomunikasi dengan kawan-kawan, apa lagi rata-rata anak-anak di sini menggunakan dialek Baling yang sememangnya agak mengambil masa untuk dikuasai. Alieff menjadi sangat pendiam di sekolah, tidak seperti Arieff yang sangat ramah dan punya ramai teman di tadika. Pada peringkat awal, Alieff agak perlahan menguasai pelajaran dan keputusan peperiksaannya juga hanya ditahap sederhana. Tapi aku tetap tidak berputus asa, Alieff juga sebenarnya anak yang rajin berusaha, cuma saja dia memerlukanya banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru dan mendapatkan teman belajar yang dapat membantu.

Alieff & Arieff ketika berkunjung pertama kali ke Thailand

Tapi apa yang paling membanggakan kami saat itu ialah, di akhir tahun seperti Arieff, Alieff juga telah menjaya mencatatkan kejayaan yang membangggakan. Dalam peperiksaan akhir tahun Alieff telah membuktikan bahawa kejayaan bukan mustahil untuk diraih jika kuat belajar dan berusaha. Alieff yang dalam peperiksaan pertengahan tahun menduduki tempat ke-13, telah berjaya mendapat kedudukan tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun. Satu kejayaan yang sangat membanggakan kami sekeluarga. Apa lagi saat itu juga Arieff telah terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan Tadika Pintar, Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim. Tambah manis lagi apabila aku juga telah memperolehi kelulusan cemerlang dalam pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazahku di Maktab Perguruan.

Kejayaan yang diperoleh ketika itu menjadi titik tolak kepada kami sekeluarga untuk terus berusaha membina masa depan yang lebih baik dan sempurna dari sebelumnya. Aku juga berikrar akan memberi pendididikan yang sebaik-baiknya kepada anak-anak, di samping itu juga akan menabur bakti menjadi guru yang dapat melahirkan insan yang berguna di masa hadapan. Bermula dari tekad untuk mengubah masa depan keluarga, kami mengorak langkah melalui hari-hari yang mendatang dengan penuh pasti dan keyakinan yang tinggi. Masa depan anak-anak menjadi keutamaan, mendidik anak bangsa menjadi tumpuan, melahirkan insan berilmu akan kami laksanakan.

Kami bersyukur dengan segala yang telah Allah kurniakan. Anak-anak adalah anugerah yang sangat bernilai yang dititip menjadi pelengkap kehidupan. Mendidik dan menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab dan amanah yang harus ditunai dan dilaksanakan. Semoga setiap apa yang ditunaikan akan mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah s.w.t. sebagai ibadah yang akan menjadi bekalan di masa depan. Dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebenarnya akan ada pelbagai cabaran yang akan datang dan pergi sebagai dugaan. Walau apa sekalipun hidup mesti diteruskan, setiap dugaan dan cabaran akan lebih mematangkan diri dan mengajar kita akan erti sebuah kehidupan yang sebenarnya di dunia ini. Apa yang penting, hidup yang kita lalui ini adalah persinggahan sementara, sebelum kita kembali kepada-Nya dan kekal di alam yang abdi selama-lamanya.

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman,

Teratak Shamida, 20 September 2011.

Khamis, 15 September 2011

Tennis Runs in Our Blood

Shamida Tennis Family – Part 3

“ POTENSI INSAN“


Kejohanan Tenis US Open 2011 telah melabuhkan tirainya beberapa hari yang lalu. Jaguh sebenar kejohanan memang seperti yang telah diramal, Novak Djokovic memang tiada tandingan. Walaupun sehari sebelumnya Roger Federer menampilkan saingan, tapi tetap juga Djokovic menjadi pilihan. Rafael Nadal sepertinya sudah ketandusan akal, enam pertemuan di final semuanya gagal, tak cukup dengan itu tahta nombor satu dunia juga terpaksa direlakan, Novak Djokovic unggul selangkah di depan.


Tenis….memang sukan pilihan. Dalam sukan ini banyak keistimewaan, jaguh-jaguh sukan ini selalu menjadi perhatian. Kalau pemain wanita, rata-rata dari kalangan jelitawan. Nama-nama seperti Coroline Wozniacki, Maria Sharapova, Victoria Azarenka, Vera Zvonareva, Ana Ivanovic, Daniela Hantochova, Maria Kirilenko atau juga Serena Williams dan ramai lagi yang selalu menjadi sebutan dan ikutan. Pemain lelaki pula hebat rupawan dan digilai peminat. Nama-nama seperti Roger Federer, Novak Djokovic, Andy Murray, Jo-Wilfried Tsonga, Juan Martin Del Potro, juga Andy Roddick, malah yang paling disanjung dan paling ramai peminatnya ialah Rafael Nadal. Sukan ini juga terkenal kerana jumlah wang hadiah yang dipertaruhkan jika menang dalam setiap pertandingan sangat besar jumlahnya. Ada ketikanya mencecah jutaan dolar US dalam setiap satu kejohanan. Tentu saja sesiapa yang muncul sebagai pemain, boleh menciptakan diri untuk menjadi jutawan yang kaya. Itu belum lagi dengan hasil penajaan, boleh saja pendapatan pemain akan mencecah lebih tinggi dari wang kemenangan yang diperolehi.

Tapi itu semua akan menjadi realiti jika ada di antara pemain dari negara kita berhasil menjadi pemain berkualiti dan berjaya mengharungi cabaran di persada antarabangsa. Walaupun kelihatannya seperti mimpi, tapi itu bukan mustahil untuk dipenuhi. Dalam permainan badminton dan skuasy pemain negara kita telah terbukti, menjadi jaguh dunia bukan lagi hanya sekadar impian lagi. Dalam sukan tenis tidak akan mustahil dalam suatu hari nanti, akan lahir bintangnya yang akan menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa. Seperti saja yang dilakukan oleh negara China, tiba-tiba saja jaguh sukan tenis wanita mereka telah menakluk dunia. Li Na nama yang kini menjadi sanjungan, tidak hanya di China tapi juga di Asia, kerana menjadi pemain China dan Asia pertama memenangi kejohanan Tennis Grand Slam apabila unggul di Kejohanan Tennis Wimbeldon 2011.

Bermula dari langkah ingin mencuba nasib mendidik anak sendiri menjadi orang yang pandai membahagi masa dengan hal-hal yang berfaedah, sekaligus pandai menggunakan masa supaya terarah. Maka aku telah memperkenalkan anak-anak kami dengan sukan tenis yang aku kira sangat baik untuk di ketengahkan. Setelah sebelumnya berjaya melatih anak-anak didik di sekolah, menjadi pemain tenis walaupun tidak dipandang sebelumnya biar dengan mata sebelah. Anak-anak Sekolah Model Khas Baling, akhirnya menjadi pemain tenis unggul di daerah Baling. Saban tahun ada saja yang akan menjadi wakil daerah ke pertandingan tenis sekolah-sekolah di peringkat negeri. Itu adalah antara kejayaan yang manis yang aku dan isteri catatkan selama mendidik anak-anak di daerah ini. Walaupun sumbangan kami tak seberapa, tapi cukup sekadar untuk diingat, mengangkat nama sekolah, daerah dan yang paling bangga menampilkan bakat anak-anak didik supaya mereka dipandang hebat. Sehingga akhirnya ramai yang berjaya dan tidak kurang yang kini menjadi insan yang membanggakan. Prestasi dalam sukan sangat membantu mereka untuk juga cemerlang dalam pelajaran, cita-cita ke menara gading akhirnya mereka capai jua.

Anak-anak Shamida pula lain kisahnya. Perjalanan untuk mencapai kejayaan dalam tenis lebih banyak cabarannya. Kalau diingat-ingatkan dugaan yang ditempohi, mungkin saja mengaku kalah di awal langkah lagi, tapi tawakal diri dan terus berserah, apa saja dugaan akan dihadapi dengan tabah. Akhirnya kejayaan dapat diraih sudah, walaupun berliku-liku cabaran yang terpaksa diredah. Namun kepahitan akhirnya dapat dirubah, anak-anak Shamida tampil membanggakan ibu dan ayah. Menjulang nama sekolah, daerah, negeri dan kejayaan diraih tak pernah sudah, dari tahun ke tahun semakin unggul dan sangat terserlah.

Bermula pada tahun 2003, apabila pertama kalinya tampil di kejohanan tenis sekolah-sekolah peringkat negeri Kedah. Mohd Alieff Shamida dan Mohamad Arieff Shamida tampil untuk mewakili daerah Baling/Sik di kategori umur bawah 12 tahun. Pengalaman pertama mungkin saja membuatkan anak-anak ini masih kurang keyakinan diri, tapi tetap saja memberikan cabaran. Walaupun pada awalnya banyak yang mentertawakan, anak-anak dari hulu Baling tampil beraksi bermain tenis. Apa lagi Alieff Shamida bersaiz tubuh yang besar, dianggap lawan, cabaran mudah untuk diselesaikan. Arieff Shamida pula bersaiz kecil, sekali pandang raket dipegang lebih besar dan tinggi dari badan. Itulah kenangan ketika kali pertama tampil dalam pertandingan. Hadir sebenarnya untuk menimba pengalaman, tapi akhirnya dapat juga memberi cabaran. Walaupun kalah tetapi bukan di pusingan yang awal, kalah bermaruah di pertengahan kejohanan. Alieff Shamida kalah di pusingan suku akhir, tapi akhirnya layak dipilih sebagai pemain simpanan untuk mewakili negeri Kedah ke kejohanan peringkat kebangsaan. Arieff Shamida pula yang ketika itu baru saja berada di tahun dua persekolahan hanya layak sampai ke pusingan ketiga sahaja.

Pengalaman tampil pertama kalinya di kejohanan peringkat negeri Kedah pada tahun 2003 memberi satu semangat yang tinggi kepada anak-anak Shamida ini untuk terus meningkatkan keupayaan dan keyakinan diri. Setiap petang sudah menjadi satu kemestian, anak-anak ini akan bersiap seawal jam 5 petang, sebaik saja solat Asar dilaksanakan, dengan segala kelengkapan alatan dan pakaian akan segera turun ke gelanggang untuk mulakan latihan. Entah mengapa, kalau sebelumnya diajak ke gelanggang harus ada unsur paksaan, kerana anak-anak ini lebih berminat untuk menonton rancangan cartoon, memang itu kebiasaan dilakukan oleh anak-anak yang seumur dengan mereka di waktu petang. Bersukan bagi mereka sangat memenatkan, lagipula dalam latihan terlalu banyak latihan fizikal yang terpaksa dilakukan. Itu antara kebiasaan yang aku arahkan, supaya anak-anak dapat banyak stamina bila berada di gelanggang.

Tapi hari ini, Alieff Shamida dan Arieff Shamida sudah memulakan sesuatu tanpa perlu diberi arahan. Aku tidak perlu lagi jerit-jerit mengingatkan mereka satu-satu persatu yang perlu dibawa sebelum turun ke gelanggang. Sampai di gelanggang juga aku tidak perlu lagi memberi arahan supaya mereka membuat larian dan latihan pemanasan. Semuanya mereka buat sendiri seperti telah diprogramkan. Membuat aku menjadi sangat hairan, anak-anak ini sepertinya sudah dewasa dan dapat memahami apa yang baik untuk mereka. Tapi ketika itu usia Alieff baru 10 tahun, Arieff baru 8 tahun. Melihat itu aku sudah dapat melihat potensi yang mereka ada, tidak mustahil anak-anak ini akan menjadi pemain tenis yang terbaik satu hari nanti. Cuma saja aku harus lebih bijak menangani, mengatur latihan dan memberi pendedahan bermain sebanyak mungkin. Keyakinan dalam diri mereka perlu aku tingkatkan lagi, supaya mereka menjadi lebih berani dan tampil bermain dengan baik sekali.

Memang sebenarnya aku tergolong sebagai seorang ayah yang sangat tegas mendidik anak-anak. Setiap hari kalau di gelanggang, anak-anak ini tidak terlepas dari dikenakan tindakkan jika melakukan kesalahan yang sengaja dan tidak serius mengendalikan latihan. Ada kalanya pernah aku membelasah anak-anak ini dengan kayu, raket, malah ada ketikanya aku suruh mereka berlari keliling gelanggang dari awal sehingga sesi latihan selesai hanya kerana mereka tidak memberi tumpuan untuk menjalani latihan. Memang terdengar suara dari rakan-rakan guru yang menganggap apa yang aku lakukan seolah-olah mahu mendera anak sendiri. Tapi bagi aku, ada sebabnya, untuk berjaya anak-anak ini dari awal lagi harus dididik dan didedahkan dengan disiplin yang tinggi. Aku mahu anak-anak ini faham, dalam hidup setiap sesuatu yang kita lakukan harus ada arah dan tujuan, bukan hanya sekadar untuk memenuhi masa yang terluang sahaja. Dalam mengejar kejayaan juga kita harus faham, tidak semuanya akan datang dengan mudah dan kita akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Jadi kira harus bersedia melakukan apa saja, harus berani mengambil risiko yang ada dan harus bersungguh-sungguh melakukan sesuatu sehingga berjaya.

Disebabkan cara aku yang keras, maka anak-anak dan pelajar-pelajar yang mengikuti latihan setiap petang sentiasa serius dan bersungguh-sungguh. Dari hari ke hari aku sangat bangga melihat kemahiran bermain yang berjaya mereka tingkatkan. Ada kalanya dalam hari-hari latihan, aku akan akan mengadakan pertandingan kecil untuk menimbulkan rasa gembira dan menghiburkan hati mereka. Kepada pelajar-pelajar yang menang akan menerima hadiah. Hadiah pula mengikut keperluan pelajar tersebut, contohnya bagi pelajar yang tidak mempunyai kasut yang sesuai untuk bemain, aku akan hadiahkan kasut untuk mereka. Tapi bukanlah kasut yang mahal, kasut berjenama yang aku beli di pasar barang-barang bekas. Tapi bagi anak-anak kampong seperti mereka itu sudah cukup mengembirakan, memiliki kasut berjenama, walaupun kasut bekas sudah cukup untuk merasa hebat. Begitu juga aku lakukan untuk anak-anakku Alieff dan Arieff, sesiapa yang menang akan aku berikan hadiah. Hadiah untuk anak-anakku biasanya berupa keperluan sekolah, tapi cukup untuk mendidik mereka untuk belajar berusaha terlebih dahulu sebelum mendapatkan sesuatu. Secara tidak langsung cara ini juga aku lakukan untuk anak-anak ini belajar berusaha untuk mencipta kemenangan dalam pertandingan.


Akhir tahun 2003, untuk pertama kalinya aku mendaftarkan Alieff Shamida dan Arieff Shamida untuk menyertai Kejohanan Tenis Junior Terbuka Antarabangsa yang diadakan di Pulau Pinang dan Kangar, Perlis. Memang setiap hujung tahun antara November dan Disember kejohanan-kejohanan seperti ini sering diadakan untuk mengisi masa cuti sekolah anak-anak. Kejohanan ini tidak hanya disertai oleh pemain-pemain tenis junior dari Malaysia sahaja, malah ada penyertaan dari pemain yang datangnya dari Korea, Jepun, Australia, Filipina, Indonesia, Singapura, India dan ada juga dari negara-negara di Eropah dan Afrika. Kejohanan seperti ini memang luar biasa sambutannya, sebab itu sebenarnya tenis aku anggap antara salah satu sukan yang sangat istimewa terutama kepada anak-anak sekolah yang berusia muda.

Penyertaan pertama di kejohanan yang berstatus Antarabangsa sebenarnya banyak memberi pengalaman yang berharga untuk Alieff dan Arieff Shamida. Apa lagi anak-anakku yang sebelumnya dibesarkan di daerah kampong yang terkenal dengan sifat rendah diri dan pemalu. Ketika kejohanan ini terpaksa berhadapan dengan orang-orang yang datangnya dari pelbagai latar yang berbeza-beza. Majoriti didominasi oleh golongan elit dan juga kalangan kaum bukan Melayu yang memang taraf hidup mereka di tergolong sangat kaya. Malah terdapat golongan elit warga asing yang rata-rata menggunakan bahasa Inggeris dalam berkomunikasi. Untung saja anak-anakku sudah sedia kami dedahkan dari awal untuk berdepan dengan situasi seperti ini. Anak-anak kami walaupun tinggal di daerah hulu, tapi dalam usia muda telah kami dedahkan dengan pelbagai ilmu, termasuk menguasai beberapa bahasa asing. Dalam usia seawal empat tahun, anak-anak telah aku hantar ke tadika yang menggunakan bahasa penghantar bahasa Inggeris dan Mandarin. Jadi untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Chinese Mandarin anak-anakku memang tidak punya banyak masalah. Untung juga anak-anak ini dapat menyesuaikan diri dengan cepat sekali.


Tapi tetap saja untuk bersaing dengan pemain-pemain lain, anak-anak kami sangat tertinggal jauh sekali. Apa lagi untuk penampilan pertama Alieff Shamida terpaksa berhadapan dengan pilihan pertama kejohanan Ahmed Djoni dari Turkmenistan. Mendengarkan namanya dan negara asalnya saja aku sudah dapat membaca cemas yang Alieff rasakan. Apa lagi apabila turun ke gelanggang permainan. Alieff walaupun tampil untuk menunjukkan kehebatan, tetap saja dibelasah dengan kiraan mata 6-0,6-1. Tapi yang aku bangga, semangat yang Alieff tunjukkan, dapat meraih satu matu sudah cukup membuat dia merasa sangat gembira. Paling tidak katanya jadi kenangan untuk dibanggakan, merampas satu mata, tahun depan akan datang untuk menebus segala kehampaan.


Arieff Shamida juga berdepan nasib yang hampir sama dengan Alieff Shamida dalam penampilan sulungnya. Lawan dari Singapura yang aku lupa namanya menjadi taruhan. Kalau Alieff abangnya yang hebat saja menjadi ratahan sebelumnya, Arieff sebelum ke gelanggang terlihat juga akan menerima nasib yang demikian. Tapi alangkah terkejutnya kami menyaksikan, Arieff rupanya punya semangat juang yang sangat membangggakan. Melihat corak pemainan, Arieff memang jauh ketinggalan, tapi semangat mengejar dan mengembalikan bola di setiap penjuru memang dia ada kelebihan. Hampir-hampir saja pemain Singapura itu dikecewakan, tapi pengalaman masih menjadi ukuran, Arieff akhirnya tewas juga, tapi paling tidak dapat menampilkan perlawanan yang boleh dibanggakan. Arieff akhirnya terpaksa akur dengan kiraan mata 0-6, 7-5, 6-7(8-10). Melihat keupayaan dan kesungguhan Arieff ketika berdepan dengan lawanya menyebabkan aku dan isteri menitiskan airmata. Bukan sedih kerana Arieff kalah bermain, tapi airmata gembira dan bangga melihat Arieff dalam usia yang masih muda sudah dapat tampil dengan penuh semangat. Apa lagi ramai yang melihat perlawanan tersebut kemudiannya memberi pujian dan menyatakan pandangan bahawa suatu hari nanti Arieff dan Alieff Shamida tidak mustahil akan menjadi pemain yang disegani jika terus diberi bimbingan.

Itulah sejarah awal penglibatan “Shamida Tennis Family” yang sangat membanggakan. Bertitik tolak dari semangat dan persembahan yang ditampilkan oleh Alieff dan Arieff pada hari itu menyebabkan aku dan isteri lebih bersemangat lagi untuk memberi peluang kepada mereka untuk terus beraksi. Walaupun kami tahu bukan sedikit belanja yang harus kami cari, tapi wang bukan lagi jadi ukuran dan sebab untuk kami berhenti. Semangat dan kesungguhan anak-anak ini harus kami yakini. Janji Arieff selepas mengharungi cabaran tak harus kami abaikan. Mahu kembali lagi tahun depannya untuk meraih kejuaraan. Itulah semangat anak-anak Shamida, selalu saja optimis dalam mengejar kejayaan. Tidak pernah mahu menyerah dan mengaku kalah, setiap kali tewas bukan bermakna menyerah, tapi bagi mereka kejayaan yang tertunda. Kejayaan mutlak akan juga nanti jadi milik mereka, terus berjuang sehingga ke mercu jaya.

“Tennis runs in our blood”

Samsul Kamil Osman,

Teratak Shamida, 15 September 2011.

Banner Maker